Bapa & Anak Perempuan Didakwa Buat Maksiat Bersama Pasangan Masing-masing
Bapa dan anak perempuan itu dihadapkan ke mahkamah berasingan pada hari yang sama atas pertuduhan melakukan persediaan persetubuhan luar nikah dan ditangkap khalwat kali kedua bersama pasangan masing-masing.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Bapa dan anak perempuannya di hadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam (9 Disember) atas pertuduhan berasingan melakukan persediaan persetubuhan haram dan berkhalwat bersama pasangan masing-masing.
Hakim Syarie Mohd. Nazri Yusof menjatuhkan hukuman denda RM4,500 terhadap tukang urut, Mat Husin Sulaiman berusia 53 tahun dan pasangannya, Aslina Razali, 37 atas kesalahan melakukan persediaan persetubuhan luar nikah, lapor Kosmo.
Sementara anak perempuan Mat Husin pula, Nurul Hadhari berumur 20 tahun bersama pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, 20, didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000 oleh Hakim Syarie Hamidi Syafie atas kesalahan berkhalwat buat kali kedua.
Bapa didakwa buat persediaan persetubuhan, anak ditangkap khalwat kali kedua
Mengikut pertuduhan, Mat Husin dan Aslina didakwa melakukan persediaan persetubuhan luar nikah di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud pada pukul 5.25 petang, 19 Mei lalu.
Manakala, Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil di mahkamah berasingan didakwa berkhalwat buat kali kedua di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Batas Baru pada pukul 4.14 pagi, 18 Mac lalu.
Mereka yang kini sudah bergelar suami isteri sejak Julai lalu didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022).
Anak perempuan dan pasangannya pernah ditangkap khalwat di lokasi sama
Sebelum ini, Nurul Hadhari dan Che Mohamad Aidil ditangkap berkhalwat buat kali pertama di lokasi sama pada 1 Februari lalu.
Mereka yang masih bergelar pelajar kolej masing-masing didenda RM1,900 dan RM2,000 bagi kesalahan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada 21 Oktober lalu.