fbpx
Now Reading
Isu Batu Puteh: “Ia Keputusan Kabinet, Bukan Saya Seorang” – Tun M

Isu Batu Puteh: “Ia Keputusan Kabinet, Bukan Saya Seorang” – Tun M

Menurut Tun M, hasil laporan RCI berkenaan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebelakangan ini, hangat mengenai isu Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendakwa keputusan itu dibuat sendiri oleh Tun Mahathir atau mesra disapa Tun M tanpa persetujuan Jemaah Menteri. Susulan itu RCI mencadangkan agar siasatan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri itu dilakukan.

Laporan RCI setebal 217 muka surat mengesyorkan laporan polis dibuat untuk memulakan siasatan jenayah dan ia telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Hasil laporan RCI bersifat politik, Tun M sedia berdepan sebarang siasatan jenayah

Terbaharu, Tun M menyatakan bahawa beliau sedia berdepan sebarang siasatan jenayah susulan hasil laporan RCI bagi mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurutnya, hasil laporan RCI berkenaan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan berhubung Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.

“Jika ada sebarang siasatan (jenayah) ke atas saya, saya bersedia. Ya, ini adalah tindakan bermotifkan politik. Keseluruhan idea adalah untuk memusnahkan saya dan memanggil saya pengkhianat.

“Jika ini adalah pengkhianatan, maka seluruh anggota Kabinet (ketika itu) adalah pengkhianat, termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya dipetik Harian Metro.

Tun M menyatakan tentang perkara itu dalam satu sidang media hari ini (10 Disember) yang turut dihadiri dua peguamnya iaitu Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali.

Keputusan dibuat Kabinet, boleh rujuk minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018

Mengulas lanjut, Bapa Pemodenan Malaysia itu berkata keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berkaitan Batu Puteh yang dibuat oleh Kabinet itu boleh dirujuk pada minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018.

“Kalau tidak percaya, sila bertanya kepada mereka yang hadir pada mesyuarat Kabinet (ketika itu).

“Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Datuk Seri Mohamad Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh Deo dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak berkata apa-apa?

“Adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen laporan RCI ini,” katanya.

Tolak hasil laporan RCI kerana banyak kecacatan

Menurut Tun M lagi, beliau menolak hasil laporan RCI terbabit kerana terdapat banyak ‘kecacatan’.

“Saya ingin bertanya dahulu rahsia, sekarang terbuka. Siapa yang bersetuju untuk ia dibuka? Kalau ini sudah dibuka dan bukan lagi ‘rahsia’, maka mengapa kerajaan bantah permohonan saya di mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?

“Laporan ini juga akan dibahaskan, tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 daripada 217 muka surat dipadam (redacted)?

“Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka surat laporan dipadam?” soalnya.

Heret Tun M ke muka pengadilan bukan langkah tepat – KJ dan Shahril

Terdahulu, bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan berpendapat tindakan mengheret Tun M ke muka pengadilan atas tuduhan jenayah berkaitan isu Batu Puteh mungkin bukan langkah yang tepat.

Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ dan Shahril merasakan bahawa tindakan mendakwa bekas pemimpin yang berusia 99 tahun itu mungkin tidak perlu memandangkan sumbangan beliau kepada negara.

Mereka berkata demikian dalam program audio siar (podcast) Keluar Sekejap di YouTube pada Jumaat lalu (6 Disember).

Baca Artikel Berkaitan: Isu Batu Puteh: “Saya Tidak Fikir Niat Tun M Untuk Khianati Malaysia”- KJ [Video]

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.