fbpx
Now Reading
KKM Jalankan Siasatan Selepas Tular Dakwaan Hospital Swasta Beku & Tahan Jasad Bayi 2 Minggu

KKM Jalankan Siasatan Selepas Tular Dakwaan Hospital Swasta Beku & Tahan Jasad Bayi 2 Minggu

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit dan menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan cerita yang tidak sahih.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 10 Disember lalu, tular di media sosial kisah sedih melibatkan jenazah seorang bayi lelaki terpaksa dibekukan selama dua minggu dipercayai kerana bapanya tidak mampu untuk membayar bil sebuah hospital swasta bernilai RM3,600.

Difahamkan, bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail telah meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum ditahan dan dibekukan dalam peti sejuk hospital berkenaan.

Kisah tragis yang dikongsikan sendiri oleh pihak pengurusan jenazah bayi itu di Facebook Mr Wan Cai Official nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam dan mempersoalkan tindakan tidak berperikemanusiaan hospital terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibekukan Selama 16 Hari, Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Bil Hospital

KKM Jalankan Siasatan Dakwaan Hospital Swasta Bekukan Bayi

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Cawangan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) mengesahkan pihaknya telah pun menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah hospital swasta membekukan jasad seorang bayi lelaki.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan beliau meminta agar orang ramai bertenang memandangkan pihak berkaitan telah dikerah bagi menjalankan siasatan.

“Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak-pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama (jalankan siasatan).

“Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.

“Jadi saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Parlimen semalam (11 Disember).

Menteri Kesihatan Turut Titip Ucapan Takziah

Pada masa yang sama, beliau turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit dan menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan cerita yang tidak sahih.

“Bukan perkara mudah kerana ada dakwaan di sana sini. Jadi saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita membuat apa-apa andaian yang kita kesal kemudian,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibekukan Selama 16 Hari, Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Bil Hospital

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.