fbpx
Now Reading
MARA Fail Bankrap Terhadap Che Ta & Anak Sulung, Tidak Bayar Pinjaman Sejak 2017
che ta pinjaman MARA (1)

MARA Fail Bankrap Terhadap Che Ta & Anak Sulung, Tidak Bayar Pinjaman Sejak 2017

Jelas Pengerusi MARA, tempoh masa secukupnya telah diberikan kepada Che Ta untuk melangsaikan hutang sebanyak RM960,000 sebelum tindakan perundangan diambil.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 10 Disember lalu, rumah kepada pelakon wanita tempatan Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, di Kota Damansara telah diserbu oleh pihak Majlis Amanah Raya (MARA).

Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, tindakan itu dilakukan selepas aktres tersebut gagal menjelaskan pinjaman dengan agensi berkenaan berjumlah hampir RM1 juta.

Serbuan yang dilakukan itu bagi membolehkan pihak MARA menyerahkan writ dan menilai barangan dalam rumah terbabit untuk tujuan penyitaan.

Baca Artikel Berkaitan: Rumah Che Ta Diserbu Selepas Gagal Bayar Pinjaman Mara Hampir RM1 Juta

Che Ta & Anak Sulung Difailkan Bankrap

Semalam (12 Disember), bahagian undang-undang MARA dikatakan dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, kerana gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.

Langkah terbabit diambil selepas aktres itu gagal melunaskan hutang terkumpul meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh MARA sebelum ini untuk mendapatkan pinjaman tersebut semula sehingga terpaksa membawa kes itu ke mahkamah.

Memetik Harian Metro, pinjaman MARA berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon berkenaan, RCW Worldwide Sdn Bhd yang mana Rozita dan anaknya sebagai penjamin.

Difahamkan, pemfailan notis kebankrapan telah dilaksanakan pada Julai, namun disebabkan wujudnya isu teknikal, ia telah ditarik semula pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta.

Sumber: Instagram

Keputusan Muktamad, MARA Tak Beri Lagi Pelanjutan Bayaran Hutang

Dalam pada itu, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan kebankrapan hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu.

Tambah beliau, MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang selepas mahkamah membuat keputusan muktamad berhubung kes ini.

Proses sama juga dilakukan kepada mana-mana peminjam lain yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian ditandatangani selepas pelbagai pemudah cara pembayaran diberikan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.

“Tiada siapa boleh menghalang tindakan MARA ini kerana ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan.

“Ini kerana MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan, nilai ihsan juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” ujar beliau.

Sumber: Malay Mail

Che Ta Tak Beri Kerjasama Dengan MARA

Jelas Asyraf Wajdi, tindakan perundangan adalah penting bagi memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain.

MARA sebelum ini dimaklumkan telah membuka pintu rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi sebarang isu atau masalah.

“Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam.

“Nilai sebenar barangan yang disita dari rumah itu pula hanya diketahui selepas lelongan dibuat nanti. Setakat ini, jumlah itu jauh lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayarnya kepada MARA,” jelas Asyraf.

Baca Artikel Berkaitan: Hutang Wajib Bayar, Usah Merayu Kepada Saya – Pengerusi MARA

Tiada Maklum Balas Dari Che Ta Selepas Penjadualan Bayaran Pinjaman Dilakukan

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, pinjaman hampir RM1 juta itu dilakukan bersama MARA Selangor termasuklah simpanan tetap RM80,000 sebagai cagaran. Namun begitu, simpanan tetap itu dikatakan sudah dicairkan MARA sebelum ini.

“Tidak dinafikan pelakon itu pernah beberapa kali memohon untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan membuat penjadualan semula, tetapi selepas itu dia senyap begitu saja.

“Penghakiman terhadap Rozita dan anaknya dibuat mahkamah pada Mei tahun lalu. Peguam Rozita juga ada menghubungi MARA tetapi arahan yang diterima ialah pelakon terbabit perlu melunaskan hutang itu sepenuhnya,” kata sumber.

Antara barangan yang disita ketika serbuan di rumah Che Ta adalah sebuah kereta, perabot, kasut dan peralatan rumah.

Rumah Che Ta yang diserbu. Sumber: Sinar Harian
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.