fbpx
Now Reading
Mahu Tangani Isu Keselamatan Jalan Raya, Total Energies Lancar VIA Safe Mobility Untuk Murid Sekolah

Mahu Tangani Isu Keselamatan Jalan Raya, Total Energies Lancar VIA Safe Mobility Untuk Murid Sekolah

Menerusi penganjuran Program VIA Safe Mobility tahun ini, murid dari SJK(C) Kwang Hwa, Sungai Nibong, Pulau Pinang, telah dianugerahkan geran sebanyak EUR 5,000 (RM23,400) untuk memperbaiki keselamatan jalan raya di kawasan sekolah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Keselamatan jalan raya merupakan isu kritikal di Malaysia, dengan lebih 532,000 kes kemalangan jalan raya direkodkan antara Januari hingga Oktober 2024, termasuk 5,364 kes kemalangan maut.

VIA Safe Mobility.

Penunggang motosikal dan pejalan kaki terus menjadi pengguna jalan raya yang paling berisiko tinggi dengan 68% kes kemalangan melibatkan kematian.

Menyedari keperluan untuk perubahan, TotalEnergies Malaysia, dengan kerjasama Arus Academy, melancarkan program VIA Safe Mobility pada tahun 2022, untuk menangani isu keselamatan jalan raya di negara ini.

Inisiatif ini selari dengan nilai teras TotalEnergies, iaitu untuk meningkatkan kesedaran dan keselamatan jalanraya di kalangan golongan muda di Malaysia.

Program VIA Dianjurkan Untuk Perubahan Lebih Positif.

Setakat ini, program VIA telah berjaya menarik 11,964 murid melalui platform DELiMA Kementerian Pendidikan yang menyediakan sumber digital interaktif percuma kepada sekolah selain memupuk pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyokong pendidikan berasaskan kurikulum.

Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia, Jennifer Li berkata, “Keselamatan jalan raya merupakan komitmen utama TotalEnergies kepada komuniti setempat. Mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat adalah penting dan ia harus bermula dengan pendidikan dan pemerkasaan generasi muda.

“Justeru, program seperti VIA ini dianjurkan bagi memupuk budaya penggunaan jalan raya yang selamat di kalangan belia, menerusi sokongan dan sumber yang bersesuaian bagi mendorong mereka melakukan perubahan positif. Visi kami adalah untuk membina masa depan di mana jalan raya kita lebih selamat untuk kegunaan semua.”

SJK(C) Kwang Hwa, Sungai Nibong, Pulau Pinang Wakili Malaysia ke Peringkat Antarabangsa.

Menerusi penganjuran Program VIA Safe Mobility tahun ini, murid dari SJK(C) Kwang Hwa, Sungai Nibong, Pulau Pinang, telah dianugerahkan geran sebanyak EUR 5,000 (RM23,400) untuk memperbaiki keselamatan jalan raya di kawasan sekolah.

Mereka berjaya mewakili Malaysia dan mara ke peringkat antarabangsa setelah muncul juara pada pertandingan di peringkat kebangsaan dan pertandingan serantau.

Mereka bertemu dengan pasukan dari Angola, Brazil, Lubnan, Madagascar, dan Maghribi bagi membentangkan penyelesaian keselamatan jalan raya yang inovatif selain membentangkan usul dan idea mereka kepada rakan sebaya secara global, pembuat dasar, dan pemimpin industri.

Mengetuai barisan hadapan bagi usaha ini ialah murid Tahun 6 dari SJK(C) Kwang Hwa, Sungai Nibong, Pulau Pinang yang dibimbing oleh mentor dan guru mereka iaitu Chan Hui Lee dan dua guru iaitu Lee Hooi Ching dan Phang Poh Choo.

Pasukan murid pula terdiri daripada Tan Jie Ling, Low Zi Ning, Oon Xin Jie, Tai Chee Ying, dan Tan Zhi Ling yang bakal membentangkan usul dan cadangan bagi menangani isu keselamatan jalan raya di kawasan sekolah dengan menggunakan kreativiti mereka.

Cabaran mereka bermula dengan pemerhatian terhadap isu-isu keselamatan jalan raya yang dihadapi oleh rakan-rakan sekolah dan komuniti setempat selain daripada kesesakan lalu lintas dan keselamatan pejalan kaki.

Misi seterusnya adalah mencipta perubahan yang bermakna melalui penyelesaian yang inovatif terhadap isu-isu keselamatan jalanraya.

Inspirasi Tercetus Dari Pengetua Sekolah.

Inspirasi untuk menyertai program ini datang daripada pengetua sekolah, Puan Leong Sook Luan di mana visinya adalah penyertaan dan sokongan para murid terhadap program ini.

“Keadaan lalu lintas yang sesak di luar kawasan sekolah merupakan isu yang membimbangkan, dan saya berpendapat program ini dapat memperkasakan murid kami untuk mengambil tindakan yang bermakna.

“Saya menggalakkan guru dan murid kami untuk bekerjasama, membentuk pasukan yang berdedikasi, dan menyertai inisiatif ini dengan sepenuh hati dengan melakukan  perubahan yang positif,” kata Leong.

Kesesakan lalu lintas, kelajuan kenderaan yang sukar dikawal dan sikap pengguna jalan raya yang mengabaikan keselamatan pejalan kaki di sekitar kawasan sekolah merupakan salah satu kebimbangan yang sering dihadapi komuniti setempat di SJK(C) Kwang Hwa.

Tanpa peraturan lintasan pejalan kaki yang ditetapkan, murid dan ibu bapa sering berhadapan dengan isu pemandu yang cuai dan memandu dengan had laju.

Berdepan dengan isu dan cabaran ini, para murid telah mencadangkan beberapa penyelesaian inovatif termasuk pemasangan palang automatik untuk mengawal aliran trafik serta papan tanda dengan tulisan “AWAS palang automatik” bagi menarik perhatian pengguna jalan raya.

Selain itu, mereka juga mencadangkan pengecatan zon oren di atas jalan raya, 100 meter sebelum memasuki zon sekolah. Ia bertujuan memberi amaran kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan sebelum menghampiri kawasan sekolah.

Perbincangan Dengan Pihak Tertentu Tentang Kebolehgunaan Cadangan Murid.

Menerusi sokongan TotalEnergies Malaysia dan Arus Academy, para murid berpeluang melancarkan advokasi untuk menambah baik dan melaksanakan cadangan mereka.

Mereka bekerjasama dengan wakil rakyat tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan permit bagi pengubahsuaian jalan dan laluan, serta berunding dengan Bike Commute Malaysia, sebuah organisasi yang memperjuangkan mobiliti bandar mampan.

YB Tuan Kumaresan Arumugam, ADUN Batu Uban, turut memberi nasihat dan bimbingan mengenai kebolehgunaan cadangan murid yang bertepatan dengan dasar infrastruktur tempatan. 

Dengan geran EUR 5,000 (RM23,400) ini, murid akan menggunakan dana tersebut untuk merealisasikan visi mereka, menangani isu keselamatan jalan raya yang kritikal di kawasan sekolah mereka dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi rakan-rakan sekolah serta penduduk setempat.

Usaha ini turut mencerminkan semangat kerjasama, inovasi, dan advokasi belia dalam membentuk komuniti yang lebih selamat. Melalui program VIA Safe Mobility, TotalEnergies akan terus nekad memimpin dan memupuk keselamatan, kelestarian, dan penglibatan komuniti di seluruh dunia.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.