Menteri Agama Beri Peringatan, Mohon Pihak Tidak Sebar Video Sensitif Termasuk Urusan Mandi Jenazah
Menurut Dr Mohd Na’im, menyebarkan video sensitif adalah tindakan yang tidak wajar kerana boleh menyebabkan keaiban kepada si mati dan keluarga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kisah sedih membabitkan jenazah seorang bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan oleh hospital swasta masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail dipercayai telah meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum jasadnya disimpan dan dibekukan dalam peti sejuk di hospital tersebut selama 16 hari.
Kisahnya mula mendapat perhatian selepas dikongsikan oleh pihak pengurusan jenazah yang menghadapi kesukaran menguruskan bayi tersebut yang beku akibat tindakan tidak berperikemanusiaan hospital berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibekukan Selama 16 Hari, Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Bil Hospital
Sebar Video Pengurusan Jenazah Boleh Sebabkan Aib Kepada Si Mati & Keluarga
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak khususnya yang terlibat dalam proses pengurusan jenazah agar tidak sewenangnya berkongsi video sensitif termasuk urusan memandikan jenazah di media sosial.
Tegas beliau, ia adalah tindakan yang tidak wajar kerana boleh menyebabkan keaiban kepada si mati dan keluarga.
“Semua pihak diseru tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses urusan mandi dan pengurusan jenazah kerana ia membabitkan kemuliaan insan (karamah insaniah) yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Bahkan Baginda Rasulullah SAW memberikan peringatan supaya sentiasa berlaku ihsan serta tidak mematahkan tulang jenazah.
“Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Malah, beliau turut berkongsi firman Allah SWT mengenai perkara tersebut.
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan (Al-Isra’:70),” katanya.
Mohd Naim berkata demikian selepas diminta mengulas kecaman orang ramai mengenai tindakan sebuah badan pengurusan jenazah yang berkongsi siaran langsung memandikan jeazah seorang bayi selepas ‘ditahan’ selama 16 hari di hospital swasta.
Minta Pihak Berkaitan Rujuk Jabatan Agama Islam Negeri Berhubung Pengurusan Jenazah
Pada masa yang sama, beliau turut meminta pihak berkaitan untuk merujuk Jabatan Agama Islam negeri mengenai hal pengurusan jenazah.
“Secara umumnya, pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sudah mempunyai panduan pengurusan jenazah.
“Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam hal pengurusan jenazah agar semuanya dilaksanakan dengan baik dan sempurna,” jelasnya.
Mohon Orang Ramai Henti Sebar Video Bayi
Malah, beliau turut meminta orang ramai agar bertenang memandangkan kes bayi berkenaan sedang dalam siasatan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Saya ingin menasihatkan semua pihak untuk tidak lagi menyiarkan video tular pengurusan jenazah bayi yang sudah mengeras kerana disimpan lama dalam peti sejuk beku sebuah hospital.
“Kita perlu menjaga aib si mati serta tidak mengguris hati mana-mana pihak yang sedang berada dalam kesedihan. Ini adalah akhlak yang diajar dalam Islam,” jelasnya lagi.
Terdahulu, ramai pengguna media sosial yang meminta video bayi berkenaan dipadamkan kerana boleh mendatangkan salah faham, kekeliruan serta memberi aib kepada ahli keluarga.
Difahamkan, bayi dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna dengan ketiadaan sebelah mata, hidung dan lubang dubur sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Jalankan Siasatan Selepas Tular Dakwaan Hospital Swasta Beku & Tahan Jasad Bayi 2 Minggu
Baca Artikel Berkaitan: Isu Jasad Bayi Ditahan & Dibekukan 2 Minggu, Bapa Bayi Tampil Bersuara Jawab Semua Dakwaan
Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibeku: Individu Selar Kenyataan Hospital Dakwa Ibu Bapa Tiada Sijil Kahwin