Kantoi Buat Aktiviti Khurafat Tilik Nasib, 2 Wanita Dicekup JHEAINS
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah wanita itu menjalankan aktiviti menilik nasib tersebut di TikTok dengan tiga jenis ramalan iaitu percintaan, ekonomi dan tuah kehidupan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umat Islam pasti tahu aktiviti mahupun tindakan mensyirikkan Allah SWT merupakan perkara yang dilarang untuk dilakukan.
Malah kesan terhadap tindakan ini bukan sahaja boleh merosakkan pedoman seseorang yang beragama Islam sebaliknya mengundang kepada dosa besar.
Oleh itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan melaporkan perkara yang menimbulkan keraguan kepada pihak berkuasa untuk membanteras ia dari terus berleluasa.
JHEAINS cekup 2 wanita didakwa jalankan aktiviti khurafat
Terbaharu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS) telah bertindak menahan dua orang wanita selepas berjaya menghidu perbuatan mereka menjalankan aktiviti khurafat dengan menilik nasib pelanggannya.
Menurut JHEIANS, perkara itu dilakukan oleh seorang wanita warga Indonesia yang menilik nasib pelanggan dengan menggunakan kad tarot menerusi TikTok.
Apa yang lebih menjadi perhatian wanita terbabit memperoleh keuntungan yang lumayan hasil daripada aktiviti menilik nasib terbabit.
Kegiatan itu dibuat oleh wanita warga Indonesia berkenaan bersama seorang kekasihnya yang juga sama jantina. Mereka berusia sekitar 30-an.
Jalankan kegiatan tilik nasib secara ‘live’ di TikTok
Memetik laporan Kosmo, pasangan itu telah ditahan oleh JHEAINS di sebuah kediaman dua tingkat di Sendayan, Negeri Sembilan pada Jumaat (13 Disember) lepas.
Jelas Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah menerusi hasil risikan yang dibuat didapati kegiatan berkenaan dijalankan oleh pasangan terbabit bermula pertengahan tahun ini secara langsung di TikTok.
Ada 3 jenis ramalan yang dibuat, bayaran menggunakan ‘gift’
Kata beliau lagi, bayaran dicaj kepada pelanggan adalah melalui pemberian ‘hadiah’ di TikTok mengikut tiga jenis ramalan seperti soal percintaan, nasib ekonomi termasuk tuah kehidupan.
“Berdasarkan keterangan daripada suspek, mereka mendakwa hanya memperoleh RM20 sehari, tetapi kita percaya boleh dapat lebih daripada itu berdasarkan kemampuan mereka menyewa rumah yang kadar sewanya lebih RM1,000,” jelasnya lagi.
Menerusi pemeriksaan yang dibuat JHEAINS mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai pekerjaan manakala wanita Indonesia itu pula telah tinggal lebih dari tempoh masa dibenarkan di Malaysia.
Kali pertama tindakan diambil terhadapan ajaran salah menilik nasib
Memetik laporan Sinar Harian, suspek ditahan disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu membuat perbuatan salah dan seorang lagi mengikut Seksyen 34 Kerana bersubahat.
“Suspek telah pun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah di sini Sabtu lalu dan telah diperintahkan membayar wang jaminan masing-masing RM3,500 dan RM2,500.
“Ini merupakan kali pertama penguatkuasaan dilakukan terhadap ajaran salah menilik masa depan dan ia adalah termasuk dalam amalan khurafat.”
Boleh rosakkan akidah dan beri kesan psikologi
Ahmad Zaki turut meluahkan kebimbangannya kerana aktiviti itu mendapat sambutan di kalangan anak muda di mana jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan akidah umat Islam.
Selain akidah perkara itu juga akan memberi kesan secara psikologi kepada seseorang individu yang ditilik jika mereka percaya pada ramalan terbabit.
“Contohnya, kalau tukang tilik itu beritahu masa depan individu yang ditilik itu akan susah, semestinya membuatkannya hilang semangat dan emosinya terganggu.
“Benda ini nampak kecil, tapi ia sangat bahaya jika tidak dibendung. Jadi masyarakat Islam diingatkan tidak mudah dipengaruhi dengan amalan ini,” kata Ahmad Zaki.