fbpx
Now Reading
Tular Pemain Pukul Pengadil Kerana Tak Puas Hati Keputusan Penalti, Polis Buka Kertas Siasatan

Tular Pemain Pukul Pengadil Kerana Tak Puas Hati Keputusan Penalti, Polis Buka Kertas Siasatan

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pihaknya telah mengesan video pemain memukul pengadil di Puchong Jaya itu yang tular di media sosial.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari yang lalu, tular di media sosial aksi tidak bertanggungjawab pemain bola sepak terhadap pengadil dalam satu perlawanan.

Melalui video yang tular itu, beberapa orang pemain yang terdiri daripada anak muda telah bertindak di luar kawalan dengan memukul dan menumbuk pengadil tersebut dipercayai gara-gara tidak berpuas hati apabila pasukan lawan diberikan sepakan penalti.

Namun, perbuatan beberapa pemain itu dapat dihalang dan dileraikan oleh pemain lain yang turut berada di situ.

Kejadian berkenaan nyata menjadi perhatian hingga ramai yang berang dengan sikap serta layanan pemain bola sepak tersebut kepada pengadil perlawanan tersebut.

Polis Buka Kertas Siasatan, Siasat Kes Pemain Pukul & Tumbuk Pengadil

Terbaharu, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku pada Ahad (14 Disember) lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pihaknya telah mengesan video berdurasi 42 saat itu di media sosial berhubung insiden berkenaan yang berlaku di Puchong Jaya.

Jelas Anbalagan, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira jam 7.10 malam daripada seorang lelaki tempatan yang berusia 38 tahun dan bertugas sebagai pengadil perlawanan.

“Mangsa telah ditumbuk oleh orang yang dikenali kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sepakan penalti diberikan kepada pihak lawan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Boleh Dikenakan Penjara Atau Denda Sehingga RM1,000

Tambah Anbalagan, jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya lagi, kes tersebut masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.