Kes Hina Agong, TMJ & PMX: TikToker Rayyan Wong Ditahan
Menurut Ketua Polis Negara, penahanan itu dibuat selepas laporan dibuat oleh pegawai MCMC berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun TikTok @ryanwong_5845.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial video seorang individu yang mempersoal sesi santapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai Pemangku Sultan Johor iaitu Tunku Mahkota Ismail di sebuah restoran asam pedas terkenal di Johor Bahru.
Melalui video yang tular itu, individu berkenaan mendakwa restoran santapan YDPA bersama Anwar itu tidak mempunyai sijil halal.
Malah, dia turut meminta agar Sultan Ibrahim dan Anwar cakna berhubung status halal restoran terbabit.
Video tersebut nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam individu berkenaan. Walau bagaimanapun, pemuda itu telahpun membuat permohonan maaf dan memadam hantaran di TikTok miliknya.
Pemilik TikTok Rayyan Wong Ditahan, Bantu Siasat Kandungan Unsur Hina Agong & PM
Terbaharu, polis menahan pemilik akaun TikTok Rayyan Wong bagi membantu siasatan berkaitan kandungan unsur penghinaan kepada YDPA, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri di akaun berkenaan.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, penahanan itu dibuat selepas laporan dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan yang dimuat naik.
“Semalam pada jam 4.30 petang pengadu melihat satu kenyataan yang dimuat naik pemilik akaun @ryanwong_5845 di aplikasi TikTok.
“Kandungan berkenaan mengeluarkan kenyataan bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina Institusi Diraja bagi membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap Institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Memetik Utusan Malaysia, lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai pemilik akaun TikTok itu ditahan polis di rumahnya yang terletak di Johor semalam (18 Disember).
Telefon Bimbit Turut Dirampas & Kes Disiasat Mengikut Akta Hasutan 1948 Serta Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998
Ketika penahanan itu, polis turut merampas telefon bimbit miliknya jenis Galaxy Z Flip 5.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih diteruskan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” jelasnya.
Sekadar info, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini pernah memaklumkan bahawa MCMC sedang menyiasat kandungan yang didakwa menghina YDPA.
Siasatan itu termasuklah kes yang melibatkan seorang individu memfitnah Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri yang telahpun meminta maaf.
[Terkini] TikToker Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
Terbaharu, pihak polis memaklumkan Rayyan Wong yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam (18 Disember).
Jelas Razarudin, permohonan reman terhadap pemuda itu ditolak mahkamah susulan dia telahpun membuat permohonan maaf melalui akaun TikTok miliknya.
“Dia sudah membuat permohonan maaf. Justeru, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Walau bagaimanapun, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca Artikel Berkaitan: