Ahli Politik & Influencer Antara 5 Profesion Paling Tidak Dipercayai Di Malaysia – Kajian
Berdasarkan kajian Kepercayaan Terhadap Profesion 2024, guru dan doktor pula menjadi profesion yang paling dipercayai oleh rakyat Malaysia dengan peratusan masing-masing sebanyak 59% dan 55%.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang wujud di dunia ini. Uniknya, setiap kerjaya itu mempunyai tugas serta keistimewaan yang tersendiri.
Ada yang hanya bekerja dengan peralatan seperti mesin namun kebanyakannya memerlukan seseorang itu berinteraksi antara satu sama lain.
Tidak kisahlah kerja apa sekalipun, yang penting setiap individu perlu memastikan tugas dapat dilaksanakan dengan baik lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan kepercayaan dari orang lain.
Ahli Politik & Pempengaruh Media Sosial Paling Kurang Dipercayai Di Malaysia – Ipsos
Siapa sangka, rupanya ada kerjaya di Malaysia yang kurang mendapat kepercayaan daripada orang ramai.
Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), ahli politik dan pempengaruh media sosial (influencer) menjadi profesion yang paling kurang dipercayai dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menerusi kajian Kepercayaan Terhadap Profesion 2024 yang dijalankan oleh firma itu, sebanyak 41% responden tidak mempercayai ahli politik diikuti dengan 36% bagi influencer.
Menteri Ditempat Ketiga Paling Tidak Dipercayai
Ia diikuti dengan menteri kerajaan di tangga ketiga sebanyak 35%, eksekutif pengiklanan ditangga keempat sebanyak 30% dan pemimpin agama sebanyak 30%.
“Berdasarkan tinjauan antarabangsa, masyarakat dunia turut mengakui ahli politik merupakan profesion yang tidak boleh dipercayai apabila mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 58%.
“Kira-kira separuh daripada purata penduduk global kurang mempercayai ahli politik, pempengaruh media sosial dan menteri kerajaan.
“Rakyat Malaysia khususnya cenderung mempamerkan rasa kurang percaya yang lebih rendah berbanding purata global,” kata Ipsos dalam satu kenyataan.
Guru & Doktor Profesion Paling Dipercayai Oleh Rakyat Malaysia
Berdasarkan kajian yang sama, guru dan doktor pula menjadi profesion yang paling dipercayai oleh rakyat Malaysia dengan peratusan masing-masing sebanyak 59% dan 55%. Ia diikuti dengan saintis (49%), angkatan tentera (49%) dan hakim sebanyak 46%.
Manakala polis di tangga keenam dengan 42%, diikuti jurubank dan pembaca berita yang masing-masing mempunyai peratusan sama iaitu 40% serta peguam (39%) dan pelayan (38%).
“Bagaimanapun pada peringkat global, kepercayaan terhadap profesion doktor, saintis dan pelayan adalah lebih tinggi daripada rakyat Malaysia.
“Ini kerana doktor mencatatkan nilai kebolehpercayaan sebanyak 58%, saintis (56%) dan pelayan (44%),” kata Ipsos lagi.
Untuk info, kajian Kepercayaan Terhadap Profesion 2024 itu telah dijalankan dari 24 Mei hingga 7 Jun lalu melibatkan 23,530 responden daripada 32 buah negara yang diadakan secara dalam talian.
Baca Artikel Berkaitan: Selain OPR, Faktor Lain Juga Boleh Mempengaruhi Kadar Inflasi – Kajian The Future
Baca Artikel Berkaitan: Manusia Tak Bahagia Lebih Berisiko Mati Awal – Kajian