“Musa Aman Mampu Kesan & Kenal Pasti Potensi Pembangunan Sabah” – Penganalisis Politik
Menurut Penganalisi politik dari UMS, keyakinan tersebut bersandarkan pengalaman luas bekas Pengerusi UMNO Sabah itu dalam politik dan pentadbiran kerajaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara pada Selasa lalu (17 Disember).
Difahamkan, Musa yang kini berusia 73 tahun itu dilantik memegang jawatan berkenaan mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa diyakini mampu buka lembaran baharu
Terbaharu, Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, pelatikan Musa diyakini mampu membuka lembaran baharu terutamanya dalam aspek kestabilan dan kemakmuran di Sabah.
Menurutnya, keyakinan tersebut bersandarkan pengalaman luas bekas Pengerusi UMNO Sabah itu dalam politik dan pentadbiran kerajaan.
“Tun Musa tidak asing lagi dengan kepimpinan yang mana beliau merupakan Ketua Menteri paling lama berkhidmat. Ketokohan beliau bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi juga politik. Ini jelas.
“Sebelum memasuki politik, beliau terlebih dahulu terlibat dengan sektor korporat dan kewangan dan sudah pasti membolehkan banyak pandangan dan buah fikiran diberikan dalam meningkatkan lagi keupayaan ekonomi di negeri ini.
“Beliau juga dilihat mempunyai kemampuan untuk mengesan atau mengenal pasti potensi pembangunan di Sabah,” katanya dipetik Sinar Harian.
Pemikiran Musa seperti Tun Mahathir
Menurutnya lagi, dia melihat pemikiran Musa ketika menjadi Ketua Menteri sebelum ini lebih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila pembangunan infrastruktur dan landskap di negeri itu dibentuk berdasarkan acuan Kuala Lumpur.
“Malah, dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam politik dan pentadbiran yang memberi peluang beliau berada di bawah tiga kepimpinan Perdana Menteri turut membuatkan beliau memahami secara mendalam banyak perkara.
“Malah kemelut politik yang membabitkan dirinya sebelum ini juga boleh dijadikan panduan untuk mewujudkan lebih kestabilan,” katanya lagi.
Sekadar info, pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah adalah bagi menggantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menjawat jawatan itu selama empat penggal bermula Januari 2011.