Tular Aksi Tarian Gelek Di Kelantan, Penganjur Boleh Dikompaun Kerana Tiada Permit – Exco [Video]
Menurut Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah, perkara itu berlaku di dewan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Tanah Merah, Kelantan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, aktiviti hiburan yang tidak bertentangan dengan norma rakyat boleh diadakan di Malaysia.
Namun dalam masa sama, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk hiburan wajib mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.
Kegagalan melakukan sedemikian boleh menyebabkan pihak penganjur dikenakan tindakan.
Penganjur Tanpa Permit Hiburan Boleh Dikompaun
Terbaharu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah memaklumkan bahawa penganjur boleh dikompaun jika tiada permit hiburan, sama ada ia dijalankan secara terbuka atau tertutup.
Dia berkata sedemikian selepas tular aksi tarian gelek mengghairahkan oleh seorang wanita yang berpakaian seksi di hadapan orang ramai dalam sebuah majlis makan malam di negeri Pantai Timur tersebut.
“Penganjur boleh dikompaun kerana tiada permit hiburan (setiap hiburan sama ada terbuka atau tertutup mesti mohon permit).
“Selain itu pemilik premis boleh dikompaun kerana tiada Lesen Tempat Hiburan (bukan premis hiburan),” katanya dipetik Awani.
Sehubungan itu, dia memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada Majlis Daerah Tanah Merah, daerah di mana hiburan terbabit mengambil tempat.
Para Pelombong Dari China Tetamu Utama Di Majlis Makan Malam
Tambah Hilmi, maklumat awal mendedahkan majlis makan malam itu telah dianjurkan pada 21 Disember lalu.
Difahamkan bahawa terdapat pelombong-pelombong dari Tanah Besar China yang menjadi sebahagian besar para tetamu di majlis tersebut.
“Kesemua mereka ini yang menjalankan kerja lombong sekitar Tanah Merah. Selain itu para pekerja syarikat dan tetamu luar turut hadir,” ujarnya.
Penganjuran Majlis Melanggar Undang-Undang
Hilmi dalam pada itu berkata penganjuran majlis berkenaan yang tidak mempunyai lesen jelas melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998.
Seksyen tersebut menjelaskan bahawa tiada sesiapa boleh mengadakan hiburan di mana-mana tempat jika tidak mendapatkan lesen untuk mengadakan hiburan dan menjalankannya di tempat terbabit.
Jika disabit kesalahan, penganjur boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Aksi Mencolok Mata Berlaku Di Dewan SJKC
Terdahulu, tular satu video memaparkan aksi tarian gelek oleh seorang wanita yang berpakaian seksi didakwa berlaku di Kelantan.
Hilmi ketika itu berkata majlis makan malam syarikat perlombongan tersebut diadakan di sebuah dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang turut disiasat kerana melanggar peraturan negeri.
“Terdapat beberapa tetamu juga terdiri daripada penduduk tempatan beragama Islam yang bekerja dengan syarikat berkenaan.
“Kita kesal dengan tindakan pihak penganjur yang menyediakan hiburan seperti itu selain menjadikan dewan sekolah untuk acara hiburan berkenaan,” katanya dipetik Harian Metro.
Isu ini mula mendapat perhatian di media sosial selepas seorang pengguna X memuat naik video ketika majlis tersebut berlangsung.
Orang Ramai Kecam Insiden Tarian Gelek Di Sekolah
Video yang telah dikongsi di merata tempat dalam media sosial menarik perhatian orang ramai yang mengecam perkara berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di sebuah institusi pendidikan.
Seorang individu bagaimanapun mempersoalkan jika pihak sekolah tidak dimaklumkan mengenai perkara itu terlebih dahulu apabila penganjur menyewa dewannya.
Beberapa pengguna media sosial turut mengaitkan pakaian berwarna hijau yang diperagakan oleh wanita terbabit dengan logo sebuah parti politik dalam negara.
Dalam masa sama, ada juga yang mempertikaikan bahawa aksi tersebut tidak salah kerana ia dijalankan di dalam premis tertutup.
Namun seperti yang dimaklumkan oleh Hilmi Abdullah, hiburan sama ada di premis terbuka mahupun tertutup perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.