fbpx

2 Nelayan Kongsi Keadaan Yang Berlaku Selepas Hanyut Di Lautan Selama 6 Hari

Menurut mangsa, Muhammad Ikmal Hakimi mereka terpaksa meminum air laut dan juga makan ikan mentah untuk menghilangkan rasa lapar sebelum diselamatkan oleh nelayan dari Acheh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, media ada melaporkan berhubung kehilangan dua orang nelayan dari Pulau Pinang yang dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang pada 16 Disember lalu.

Kehilangan dua nelayan ini secara tidak langsung membuatkan ramai khususnya ahli keluarga mangsa bimbang akan nasib yang menimpa mereka sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga terpaksa dilakukan.

Namun SAR terpaksa dihentikan selepas lima hari apabila pasukan penyelamat tidak dapat menemui sebarang pertunjuk untuk mengesan nelayan termasuk bot mereka.

Lambaian terakhir 2 nelayan hilang selama 6 hari kepada nelayan di Acheh raih perhatian

Terbaharu, dua nelayan tersebut telah berjaya dibawa pulang ke Jeti Batu Maung, Pulau Pinang sekitar jam 3 pagi, semalam (23 Disember).

Kedua-dua mangsa selamat selepas dibantu oleh nelayan Acheh yang ketika itu melihat bot mereka terumbang-ambing di atas laut.

Selain itu mangsa, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, serta Nor Hasrul Abdullah, 25, turut menceritakan detik getir yang dilalui oleh mereka sepanjang enam hari berada di laut dalam sehingga ke perairan.

Malah video mereka diselamatkan turut dikongsikan oleh sebuah akaun TikTok @abg.siasat.aa yang menunjukkan momen dua nelayan itu mengucapkan terima kasih kepada nelayan dari Acheh yang membantu mereka.

Lambaian terakhir antara 2 nelayan itu dan nelayan dari Acheh, Indonesia nyata menyentuh hati pengguna media sosial apabila ramai turut menzahirkan rasa terima kasih di atas budi baik rakyat dari negara seberang membantu kedua mangsa.

Enjin bot tak boleh dihidupkan sebelum rosak, hubungi pemilik bot untuk minta bantuan

Mengulas mengenai apa yang berlaku, mangsa berkata ketika kejadian, mereka hanya memikirkan bakal mati kerana bot yang dinaiki telah dihanyutkan oleh ombak besar. Namun mereka terus berdoa dan bertawakal sepanjang berada di atas laut.

Jelas Muhammad Ikmal Hakimi, awalnya mereka keluar ke laut jam 3 petang pada 16 Disember lalu. Namun sewaktu ingin menghidupkan enjin bot semasa memukat ikan secara tiba-tiba tali enjin pada bot rosak serta tidak dapat dihidupkan semula.

Katanya ketika kejadian itu keadaan ombak dan ribut juga dilihat semakin kuat. Melihat keadaan itu, Ikmal kemudian segera menghubungi pemilik bot terbabit untuk meminta bantuan. Mereka kemudian dimaklumkan akan menghantar individu untuk dibantu, walau bagaimanapun tiada sebarang bantuan yang datang sehingga jam 12 tengah malam.

“Waktu itu ombak dan ribut masih kuat dan dalam masa sama, bot telah hanyut dibawa arus ombak dan saya menghubungi keluarga untuk maklumkan kejadian itu serta terus menunggu bantuan tiba.

“Tetapi sampai ke sudah tiada sesiapa datang, waktu itu kami cuba menjerit meminta bantuan dan memberi isyarat menggunakan lampu picit tetapi tiada sesiapa menyedarinya dan telefon bimbit pula telah habis bateri,” jelasnya, lapor Harian Metro.

Bekalan makanan habis, terpaksa makan ikan mentah untuk hilangkan rasa lapar

Tambah Ikmal, mereka pada ketika itu tidak dapat menghubungi mana-mana individu untuk memohon pertolongan dan berfikir akan selamat kerana masih dapat melihat kawasan bukit di Teluk Bahang.

Dia turut memaklumkan ketika kejadian mereka juga ada membawa bekalan makanan seperti nasi kerana kebiasaannya akan turut ke laut kira-kira empat jam. Namun bekalan yang dibawa telah habis dimakan pada hari pertama.

Pada hari kedua mereka hanya memilih untuk minum air laut sahaja sebelum mengambil keputusan untuk memakan ikan mentah yang ditangkap bagi menghilangkan rasa lapar.

Meskipun muntah beberapa kali disebabkan tidak pernah makan makanan seperti itu tetapi perkara itu tetap dilakukan kerana risau sekiranya tidak mempunyai tenaga jika tidak makan.

“Masuk hari ketiga kami sudah tidak nampak bukit di daratan dan saya dengan abang (Nor Hasrul) mula bergaduh antara satu sama lain sehingga beberapa kali jatuh ke dalam laut kerana tertekan, tetapi Alhamdulillah kami masih selamat sebab pakai jaket keselamatan dan waktu tu hanya fikirkan akan mati sahaja.

“Kami juga hanya mampu tawakal sahaja dan apabila sekali lagi dilanda ribut serta hujan lebat saya dan abang Hasrul berlindung di bawah pukat sebab takut dan air mula masuk ke dalam bot jadi kami terpaksa membuang pukat bagi mengimbangi bot serta mengelakkan bot karam.”

Ceritanya lagi detik cemas berakhir selepas mereka akhirnya diselamatkan oleh nelayan Acheh yang menghulurkan bantuan serta memberikan mereka makan dan minum.

Ikmal bagaimanapun memaklumkan dia mempunyai niat bagi meneruskan pekerjaan sebagai nelayan namun buat masa ini akan mengikut nasihat ibu, Hanita Ismail, 47 untuk bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seperti dilakukan sebelumnya.

Beri trauma namun tak patahkan semangat untuk terus jadi nelayan

Sementara itu, Nor Hasrul menyifatkan insiden yang berlaku selama enam hari itu memberikan kesan trauma mendalam kepada mereka berdua tetapi ia tidak melunturkan semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai nelayan.

Ini kerana mereka melakukan perkara tersebut sejak berusia setahun enam bulan lagi.

“Kejadian ini pengalaman pertama bagi kami, walaupun ombak besar biasa kami hadapi, tetapi tidak pernah seteruk ini. Kami akan lebih berhati-hati selepas ini,” ujar Nor Hasrul.

Kepulangan mangsa dari Acheh menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang itu turut dinanti oleh ahli keluarga dan ibu bapa serta saling berpelukan selepas ditemui.

Di platform media sosial pula, terdapat beberapa foto dan video dikongsikan mengambarkan saat ketika dua orang nelayan berkenaan diselamatkan oleh nelayan di Acheh.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.