7 Maut & 33 Mangsa Cedera Dalam Kemalangan Libatkan 5 Kenderaan Di Melaka
Siasatan awal mendapati kemalangan terbabit berlaku apabila tayar kanan hadapan lori berkenaan tercabut di tengah lebuh raya sebelum ia dilanggar oleh bas yang terlibat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Satu kemalangan tidak diingini telah dilaporkan berlaku di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) dari Ayer Keroh menghala Simpang Ampat pada malam tadi (23 Disember).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz mengesahkan 40 orang mangsa terlibat dalam nahas tersebut.
Beliau menjelaskan seramai tujuh orang mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki di lokasi kejadian manakala 33 lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Kanak-kanak Lelaki Antara Yang Maut Dalam Kemalangan Ini
Memetik laporan Harian Metro, nahas terbabit membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Mangsa yang maut adalah empat orang penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima beserta pemandunya, manakala dua lagi adalah pemandu serta penumpang sebuah bas persiaran.
Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka dan Alor Gajah serta sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
“Jadi setakat ini kita mengambil masa lebih kurang dalam empat jam dan operasi ini semua sudah terkawal dan proses mengalihkan bas, treler, MPV serta muatan pakaian terpakai yang tercampak daripada treler itu sedang dilakukan,” katanya.
Sehingga kini, identiti yang sudah dikenal pasti adalah:
- Pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor.
- Pemandu Estima, Khairul Ikhwan Mazupi,
- Isteri pemandu Estima, Fadzlenna Ramli, 32.
- Bapa mentua, Ramli Ab Wahab, 66,
- Anak bongsu, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Dua lagi penumpang Estima, iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan berusia tujuh dan empat tahun cedera dan masing-masing dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.
Bagaimana Kemalangan Berlaku?
Siasatan awal mendapati bahawa kemalangan terbabit berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut di tengah lebuh raya sebelum ia dilanggar oleh bas yang terlibat.
Kemalangan itu kemudiannya mengakibatkan pemandu bas terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
“Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam kenyataan.
Nahas Kemalangan Mengakibatkan Kesesakan Jalan Raya 10 Kilometer
Nahas yang membabitkan tiga kenderaan itu berlaku sekitar jam 8:40 malam semalam (23 Disember) dan mengakibatkan kesesakan lebuh raya sejauh 10 kilometer dari kedua-dua arah.
Sementara itu, laluan dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menghala ke utara ditutup sepenuhnya dan dilencongkan.
Buat masa ini, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat penuh berkaitan nahas tersebut termasuk identiti mangsa-mangsa yang terlibat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.