Israel Akhirnya Akui Terlibat Dalam Pembunuhan Ketua Hamas Ismail Haniyeh
Pengakuan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz yang turut memberi amaran akan ‘memancung’ kepala kepemimpinan pemberontak Houthi di Yaman.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Genosid ke atas tanah suci Palestin oleh rejim Israel telah mengorbankan beberapa tokoh penting seperti Timbalan Ketua Hamas Saleh al-Arouri, ketua Hezbollah Hassan Nasrallah dan Ketua Hamas Yahya Sinwar.
Sebelum Sinwar dilantik sebagai pemimpin kumpulan pejuang itu, bekas Ketua Hamas, Ismail Haniyeh telah maut dibunuh di Iran.
Namun begitu, tiada mana-mana pihak ketika itu yang mengaku bertanggungjawab di atas pembunuhan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh Maut Dibunuh Di Iran
Israel Akui Bunuh Ismail Haniyeh
Dalam perkembangan terkini, Israel buat pertama kalinya mengakui terbabit dalam kes pembunuhan Haniyeh di Tehran pada Julai lalu.
Pengakuan tersebut dibuat oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz yang turut memberi amaran akan ‘memancung’ kepala kepemimpinan pemberontak Houthi di Yaman.
“Kami akan menyerang Houthi pada skala besar… dan memenggal pemimpin mereka, sama seperti dilakukan ke atas Haniyeh, Sinwar, dan Nasrallah di Tehran, Gaza, Palestin serta Lubnan.
“Kami akan melakukannya di Hodeida dan Sanaa,” katanya.
Katz Beri Amaran Kerat Tangan Pihak Menentang Israel & IDF
Kenyataan itu dibuat semalam (23 Disember) dalam satu acara di Kementerian Pertahanan. Ia sekaligus menandakan pengakuan awam pertama mengenai peranan Israel dalam pembunuhan Haniyeh.
Dalam pada itu, Katz turut memberi amaran akan mengerat tangan mana-mana pihak yang menentang Israel serta tenteranya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Rejim Zionis sebelum ini tidak pernah mengakui terlibat dalam pembunuhan pemimpin politik kumpulan pejuang itu. Namun Iran dan Hamas sejak dahulu lagi menyalahkan Israel atas kematian Haniyeh.
Terdahulu, media melaporkan Israel pernah berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas lain selepas melakukan serangan balas pada 7 Oktober 2023.
Haniyeh Dibunuh Di Iran Selepas Hadiri Majlis Pelantikan Presiden Iran
Bertanggungjawab dalam mengetuai usaha rundingan gencatan senjata di Gaza, Haniyeh dikatakan dibunuh di sebuah rumah tamu di Tehran dengan menggunakan alat peledak yang dipasang oleh ejen Israel beberapa minggu sebelum itu.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) ketika itu memaklumkan bahawa Haniyeh disasar semasa menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.
Memetik laman berita di Iran, Ismail ketika itu terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya. Tidak berapa lama selepas pembunuhan itu, Nasrallah pula terbunuh dalam serangan bom Israel di Beirut, Lubnan pada 27 September, manakala Sinwar terbunuh di Gaza pada 16 Oktober.
Laporan AFP mendedahkan pegawai Israel berkata bahawa Sinwar merupakan dalang serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang dikatakan mencetuskan perang di Gaza.
Baca Artikel Berkaitan: Israel Dakwa Sudah Bunuh Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar
Baca Artikel Berkaitan: Jurucakap Hezbollah Terkorban Dalam Serangan Israel Di Lubnan