[Video] Hiasan Pokok Krismas Gergasi Berhampiran Sunway Pyramid Terbakar
Kebakaran pada hiasan pokok Krismas di hadapan Sunway Pyramid itu dilaporkan berlaku semalam (23 Disember).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menjelang perayaan Hari Natal yang disambut oleh penganut Kristian pada setiap 25 Disember, kebanyakan pusat membeli-belah dilihat menghiasi premis dengan pokok Krismas.
Walaupun tidak meraikannya, tetapi kemeriahan sambutan itu turut dirasai apabila banyak dekorasi perayaan yang menghiasi premis pusat membeli-belah dan juga kawasan kediaman.
Namun kemeriahan tersebut bertukar sebaliknya selepas satu kejadian tidak diingini berlaku di Petaling Jaya Utara (PJU).
Hiasan Pokok Krismas Terbakar
Menerusi satu video dimuat naik di laman TikTok (@thereknees625), individu ini sempat merakam satu kebakaran yang berlaku pada hiasan sebatang pokok Krismas yang berada di bahagian luar berhampiran pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan Sunway Pyramid Hotel.
Berdasarkan video tersebut, kebakaran itu mengakibatkan kepulan api yang marak sehingga mengakibatkan kepulan asap berwarna hitam.
Asap tebal berwarna hitam juga boleh dilihat dari jejantas pejalan kaki berhampiran yang berada di bahagian atas.
Video berkenaan telah mendapat perhatian ramai sehingga meraih 706,200 jumlah tontonan setakat artikel ini ditulis.
Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Selepas Lihat Video Kebakaran Itu
Menjengah ke ruangan komen, timbul pelbagai reaksi yang diberikan oleh masyarakat berikutan insiden kebakaran yang berlaku berhampiran Sunway Pyramid tersebut.
Malah, ada sesetengah pengguna TikTok yang mendakwa bahawa punca kebakaran itu terjadi adalah disebabkan oleh penggunaan lampu incandescent yang dikatakan boleh mengakibatkan penghasilan haba berlebihan.
“Dah kata tak boleh guna lampu incandescent. Fire hazard,” ujar netizen.
“Mungkin ini sebab overheating,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
Tiada Mangsa Yang Terlibat
Memetik laporan Sinar Harian, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar menjelaskan pihak mereka telah menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 7:10 malam semalam (23 Disember).
Susulan itu, anggota pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
Walau bagaimanapun, pokok hiasan Krismas terbabit telah dipadam sewaktu pasukan bomba tiba di sana.
“Sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi dapati kebakaran melibatkan sebatang pokok hiasan itu telah dipadam,” katanya.
Siasatan awal mendapati tiada mangsa yang terlibat dan punca kejadian sedang dikenal pasti.