Lori Tangki Minyak Terbalik Di Karak Akibat Masalah Brek, Pemandu Terselamat [Video]
Sebuah lori tangki dilaporkan terbalik di Kilometer 28 Lebuhraya Karak pada 12.30 tengah malam, 25 Disember akibat kegagalan brek.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak kebelakangan ini, media sering melaporkan berita kemalangan membabitkan kenderaan berat, lebih-lebih lagi lori treler.
Dalam satu nahas di Lebuh Raya Utara Selatan sekitar Melaka pada 23 Disember, siasatan awal mendapati tayar yang tercabut dari sebuah lori menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa tujuh pengguna jalan raya.
Malah, pada 23 November lalu seorang penunggang motosikal dilaporkan maut apabila sebuah lori mengundur secara mengejut dari sebuah kawasan pembinaan di Kerinchi, Kuala Lumpur.
Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Di Melaka: 7 Maut & 33 Mangsa Cedera Libatkan 5 Kenderaan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Penunggang Motor Maut Dirempuh Lori Mengundur Secara Mengejut, Pemandu Kini Ditahan
Lori Tangki Minyak Sawit Terbalik Dalam Perjalanan Ke Pelabuhan Klang
Terbaharu, sebuah lori tangki minyak dilaporkan terbalik di Kilometer 28 Lebuhraya Karak, berdekatan Genting Sempah semalam (25 Disember).
Dipercayai insiden itu berlaku akibat masalah brek yang dialami lori tangki berisi minyak sawit berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, laporan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada 8.42 pagi hari kejadian.
“Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, lori tangki membawa muatan minyak sawit dipandu lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya dipetik Harian Metro.
Masalah Brek Sebabkan Lori Tangki Hilang Kawalan
Noor Ariffin melaporkan bahawa lori tangki tersebut terbabas akibat masalah pada brek yang menyebabkannya gagal berfungsi, seterusnya hilang kawalan.
Tambahnya, pemandu lori tangki itu terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, Noor Ariffin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K Pavinar di talian 017-4424699 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
Lampu Brek Lori Dilihat Menyala, Namun Kenderaan Tidak Dapat Dihentikan
Terdahulu, tular rakaman video dashcam berdurasi 46 saat di TikTok (@afifiahroadrunner) dari sebuah kereta yang memandu berhampiran lori berkenaan sebelum insiden berlaku.
Kereta tersebut pada mulanya ingin memotong lori itu yang secara tiba-tiba memecut sambil membunyikan honnya. Perkara ini menyebabkan pemandu kereta itu memperlahankan kenderaan.
Menerusi video, dapat dilihat terdapat percikan api pada bahagian tayar hadapan sebelah kanan lori. Difahamkan perkara itu sebenarnya brek cakera yang telah terbakar.
Lampu brek lori juga dilihat dinyalakan beberapa kali yang membuktikan pemandu cuba untuk memperlahankan kenderaan tersebut tetapi tidak berjaya.
Lori treler itu kemudiannya meluncur laju ke hadapan sebelum terbalik di satu selekoh.
Pengguna Media Sosial Dakwa Insiden Sebabkan Kawasan Di Gombak Tiada Air
Menjenguk ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial yang turut perasan dengan keadaan brek cakera yang terbakar.
Mereka berkata jika brek telah terbakar, ia tidak lagi berfungsi. Malah, ada yang berkata kerosakan itu boleh disebabkan oleh terlalu banyak menggunakan brek sewaktu kenderaan menurun bukit.
Sebaliknya, mereka berpendapat lori tersebut seharusnya menggunakan gear yang rendah dan mengurangkan kelajuan sejak awal.
Sementara itu, seorang pengguna TikTok memuji pemilik dashcam kerana menjaga jarak dengan lori tangki terbabit.
Seorang individu pula meluahkan rasa risau dengan insiden kemalangan yang melibatkan kenderaan berat yang semakin menjadi-jadi dan berharap agar syarikat berkaitan menitikberatkan isu keselamatan kenderaan.
Dalam pada itu, seorang individu mendakwa bahawa insiden tersebut menyebabkan sungai tercemar sehingga kawasan perumahannya yang terletak di Gombak tidak ketiadaan air.
Minyak Tumpah Dibersihkan Menggunakan Habuk Kayu
Dalam satu video lain yang dikongsikan, dilihat operasi pembersihan minyak yang tumpah di lebuh raya sedang dilakukan.
Beberapa jentolak di bawah Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dilihat membawa muatan habuk kayu yang dituangkan pada sisa minyak.
Dapat dilihat bahawa minyak yang tumpah di lebuh raya tersebut telah mengeras.
Baca Artikel Berkaitan: Keadaan Tayar Kenderaan Antara Punca Banyak Berlaku Kemalangan Jalan Raya