Polis Siasat Dakwaan Anak Autisme Dipukul Rakan Sekerja
Ibu kepada mangsa turut mendakwa bahawa dia dinasihati oleh Pegawai Penyiasat agar menarik semula kes berkenaan dakwaan anaknya dipukul rakan sekerja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Walaupun individu kurang upaya atau lebih dikenali sebagai OKU agak berlainan dengan orang awam, namun mereka juga tetap berusaha demi mendapatkan rezeki yang halal.
Malah ramai di antara mereka yang gigih mencari rezeki hingga ada yang berjaya mencipta nama di luar sana.
Akan tetapi, ada pula sesetengah daripada mereka yang menjadi mangsa buli atau kurang mendapat perhatian di tempat kerja.
Wanita Dakwa Anak Dipukul Rakan Sekerja
Pada Selasa (24 Disember) lalu, seorang wanita yang dikenali sebagai Adra Azura telah memuat naik satu hantaran di Facebook mengenai anaknya yang dipukul rakan sekerja di sebuah restoran makanan segera terkenal.
Katanya, anak lelakinya yang dikenali sebagai Zul merupakan seorang individu autisme yang berumur 23 tahun.
Mangsa yang telah berkhidmat hampir empat tahun di restoran tersebut didakwa dipukul oleh rakan sekerja sehingga mengalami luka dan bengkak di bahagian muka, dada dan tangan.
Tambahnya lagi, anaknya pulang ke rumah dalam keadaan hampir pengsan.
Kali Pertama Anaknya Dipukul Sepanjang Hidup
Adra berkata insiden sedemikian merupakan kali pertama dialami oleh anaknya sepanjang tempoh membesar.
“Untuk makluman, anak saya tiada rekod jenayah bergaduh dan dipukul oleh orang awam. Anak saya mengalami trauma disebabkan kejadian ini,” jelasnya.
Dia memaklumkan telah membawa Zul melakukan pemeriksaan doktor sebelum membuat laporan polis.
Wanita Dinasihati Agar ‘Tarik Kes’ Untuk Elak Anak Ditahan Reman
Namun apabila dia dipanggil untuk hadir ke sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pegawai Penyiasat (IO) menasihatinya agar ‘menarik kes’.
Dia diberitahu bahawa perkara ini bertujuan untuk mengelakkan anaknya daripada ditahan reman sebagai sebahagian daripada prosedur pihak polis dalam menjalankan siasatan. Dia turut dimaklumkan bahawa tiada sel khas untuk golongan OKU.
“Kerana saya bertegas meminta untuk periksa CCTV dan menyatakan ingin mengetahui kebenaran. Disebabkan pihak satu lagi juga mengalami kecederaan jadi polis menyatakan perlu menahan reman kedua-duanya.
“Saya ingin tahu kebenaran. Sebagai ibu hati saya luruh melihat anak saya diperlakukan seperti ini. Adakah tiada tempat anak saya dimata orang awam?” soalnya.
Orang Ramai Cadang Agar Tidak Tarik Balik Laporan
Di ruangan komen hantaran tersebut, orang ramai memberi cadangan kepada wanita itu agar tidak menarik balik laporan yang dilakukan.
Malah ada yang meminta wanita tersebut supaya melakukan laporan ke Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman dan mengemukakan juga nama anggota yang mengambil laporan pertama.
Mereka turut mengingatkannya agar melantik seorang peguam sekiranya mampu.
Di samping itu, seorang pengguna media sosial berkata individu OKU tidak akan ditahan sewenang-wenangnya tanpa asbab yang kukuh. Perkara ini juga terpakai bagi individu yang mengalami kecederaan.
Dalam pada itu sesetengah juga berkata individu autisme tersebut mungkin sering dibuli sebelum ini dan menyimpan dendam.
“Pertahankan hak anak. Apa-apa yang berlaku, kami rakyat Malaysia sentiasa menyokong akak,” kata seorang wanita.
Polis Siasat Dakwaan Pekerja OKU Dipukul
Susulan itu, media semalam (25 Disember) melaporkan pihak polis sedang menyiasat dakwaan berlakunya pergaduhan antara dua pekerja, termasuk OKU, di restoran makanan segera tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail, laporan sebelum itu diterima individu terlibat.
“Siasatan terperinci berhubung kes ini sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Sinar Harian.