Terapkan Nilai Islamik, Batu Marmar Dengan Lafaz Zikir Di Kelantan Ajak Pengguna Jalan Raya Beribadah [Video]
10 bongkah batu marmar dengan ayat zikir dan selawat itu terletak berdekatan lampu isyarat menuju ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui amalan ibadah adalah penting bagi membentuk jati diri umat Islam. Ramai juga di kalangan masyarakat telah tampil dengan pelbagai inisiatif bagi mengajak orang meningkatkan ganjaran pahala.
Seperti sebelum ini, seorang lelaki telah menghasilkan sebuah replika al-Quran gergasi di Masjid Buluh, Gua Musang, Kelantan. Lebih menarik adalah ayat suci pada replika tersebut bukan cetakan, tetapi merupakan tulisan tangan.
Bukan sahaja ayatnya, lelaki berkenaan turut melukis sendiri kerawang pada bahagian tepi mukasurat replika al-Quran tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: “Selagi Tak Runtuh, Selagi Itulah Pahala Mengalir” – Lelaki Hasilkan Replika Al-Quran Gergasi Dengan Tulisan Tangan
Arca Batu Marmar Mercu Tanda Baharu Di Gua Musang
Bagi menggalakkan para Muslim untuk sentiasa beribadah, beberapa arca batu marmar dengan tulisan lafaz zikir dijadikan sebagai mercu tanda baharu di Gua Musang, Kelantan.
Batu marmar yang diletakkan berhampiran lampu isyarat menuju ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu membawa mesej dan peringatan kepada umat Islam untuk sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT.
Memetik Berita Harian, mercu tanda di daerah ini adalah inisiatif Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud bagi menggalakkan pengguna jalan raya berzikir semasa berada dalam perjalanan ke sesuatu destinasi.
Jelas Nik Raisnan, pihaknya mengambil tempoh tiga bulan bagi menyiapkan susunan batu marmar termasuk tulisan pada bongkah batu terbabit.
Tambahnya lagi, batu marmar yang tersedia di sana adalah yang terbaik di Malaysia dan hanya boleh didapati di daerah itu sahaja. Menurut Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), batu berkenaan bermutu tinggi kerana mempunyai ketumpatan lebih bagus berbanding yang diimport dari luar negara.
@mdgm_kelantan Tulisan ayat-ayat suci Al-Quran yang diukir di atas batu marmar menjadi mercu tanda baharu di Persimpangan Bendahara, Bandar Gua Musang. Batu marmar asli dari Gua Musang ini adalah antara yang terbaik dan bermutu tinggi kerana mempunyai ketumpatan yang tinggi berbanding batu marmar yang diimport dari luar negara. #TahunMelawatKelantan2024 #GuaMusangkuBersih #MDGMBersihIndahCeria ♬ Solatun Bissalamil Mubin – Atfal
“Dianggarkan setiap satu bongkah batu ini adalah seberat 10 tan dan terdapat 10 bongkah batu marmar yang tertulis dengan lafaz zikirullah.
“Pemilihan lokasi ini kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya termasuk anak-anak perantuan yang akan pulang ke kampung halaman mereka.
“Jadi sementara mereka menunggu lampu isyarat, dengan melihat bongkah ini dapat mengingatkan mereka untuk berzikir kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad,” ujar Nik Raisnan.
Batu Marmar Dengan Tulisan Zikir Tingkatkan Imej Negeri Islamik
Berbicara lebih lanjut mengenai inisiatif tersebut, Nik Raisnan berkata ia adalah salah satu cara untuk menonjolkan imej negeri itu dengan penerapan nilai Islamik.
“Jadi kita mahu penerapan nilai Islamik ini sudah bermula di pintu masuk ke negeri ini, iaitu daerah Gua Musang. Saya sangat berharap arca ini memberi manfaat kepada orang ramai terutama kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa mengingati Allah dan Rasulnya.
“Orang ramai juga dibenarkan untuk singgah dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan di arca batu marmar ini,” katanya.
Harap Orang Ramai Dapat Manfaat Lihat Batu Marmar Yang Dibina
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha MDGM, W Mohd Afiq W Alias berkata pembinaan arca batu marmar terbabit dilakukan secara bergotong-royong bersama pihak syarikat pengeluar batu marmar MDGM dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau berharap orang ramai boleh mendapat manfaat termasuklah berzikir apabila melihat batu marmar itu.
Para Muslim Dituntut Untuk Berzikir Tidak Kira Waktu
Sebagai seorang umat Islam, anda dituntut untuk sentiasa mengingati Tuhan Yang Maha Esa dalam kehidupan seharian. Antara cara terbaik bagi memperingati Allah SWT adalah dengan mengamalkan zikir.
Amalan berzikir juga merupakan rutin biasa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, lidah Baginda juga tidak lekang memuji nama-nama Allah yang indah tidak mengira waktu.
Kebiasaannya, para Muslim akan berzikir semasa atau selepas menunaikan solat. Namun tanpa kita sedar, sebenarnya banyak lagi cara untuk kita memperbanyakkan amalan tersebut.
Selain menggunakan lisan atau lidah, kita juga boleh berzikir melalui hati sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring.
Baca Artikel Berkaitan: “Next Level” – Lampu Isyarat Dilengkapi Kalimah Zikir Di Kelantan Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: “Kereta Depan Ajak Buat Pahala” – Paparan LED Dengan Ayat Selawat Jadi Tumpuan