fbpx
Now Reading
Suhakam Tidak Wajar Pertikai Kuasa Negeri Berhubung Hukuman Sebat Di Khalayak – PAS

Suhakam Tidak Wajar Pertikai Kuasa Negeri Berhubung Hukuman Sebat Di Khalayak – PAS

Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Terengganu itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Beberapa hari lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendakwa hukuman sebatan di tempat awam yang dikenakan terhadap seorang tukang rumah di Terengganu melampaui bidang kuasa undang-undang persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Menurut Suhakam, Perkara 125(3) (c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001 yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat di hadapan orang ramai tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah.

Menerusi laporan MalaysiaKini pada 19 Disember lalu, Suruhanjaya itu menyatakan bahawa hukuman sebat di tempat awam merupakan penghinaan terhadap maruah manusia selain melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta Perlembagaan Persekutuan.

Dewan Ulamak PAS Pusat ingatkan Suhakan jangan cetus salah faham

Cakna dengan perkara tersebut, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) pada 25 Disember telah tampil menerusi satu kenyataan mengingatkan Suhakam agar tidak membuat kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Syariah Terengganu adalah berpandukan lunas perundangan yang jelas serta tidak bertentangan dengan kuasa negeri dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Negeri itu seharusnya dihormati oleh semua pihak dan bukannya dipertikai.

“DUPP juga ingin mengingatkan Suhakam bahawa dalam undang-undang, prinsip hukuman setimpal (retributive justice) dan pencegah rintang kepada masyarakat di luar sana sangat mustahak.

“Usah membakulkan segala-segalanya atas nama hak asasi manusia semata-mata sehingga mengenepikan peranan undang-undang dalam mengurus kehidupan manusia,” katanya.

Suhakam patut angkat prinsip perundangan

Menurutnya lagi, Suhakam seharusnya mengangkat prinsip perundangan serta menilai hak asasi daripada perspektif agama, bukan bertindak sebaliknya berpandukan kepada agenda hak asasi manusia ciptaan barat yang telah rosak.

“Justeru, DUPP menegaskan bahawa hukuman sebatan di khalayak ramai ini adalah wajar dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah si pesalah.

“Ia perlu dilihat dalam konteks hukuman yang membentuk keinsafan kepada si pesalah dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sedemikian pada masa akan datang,” katanya lagi.

Mengaku bersalah khalwat buat kali ketiga, tukang rumah dihukum sebat di tempat awam

Terdahulu pada 20 November, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengarahkan tertuduh seorang tukang rumah dikenali sebagai Mohd Affendi Awang disebat sebanyak enam kali di tempat awam.

Hukuman terbabit dijatuhkan selepas Mohd Affendi mengaku bersalah atas kesalahan khalwat buat kali ketiga.

Duda itu menjadi individu pertama yang disebat secara terbuka bagi kesalahan jenayah syariah di Terengganu.

Pada 15 Disember pula, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman tersebut selepas pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Difahamkan, Hukuman sebat itu dilakukan hari ini (27 Disember) di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.