![](https://www.buzzkini.com/wp-content/uploads/2024/12/penyewa-tak-bayar-bil-elektrik_2-720x420.jpg)
TNB Umum Bakal Naikkan Tarif Elektrik 14.2% Di Semenanjung Mulai 2025
Tarif elektrik baharu yang dikeluarkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan mengenakan caj 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) mulai 1 Julai 2025 sehingga Disember 2027.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sesungguhnya tahun 2025 bakal menjadi tahun yang agak mencabar selepas Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melaksanakan jadual tarif elektrik yang baharu bagi penduduk di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai 2025 sehingga Disember 2027.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), tarif asas yang dikenakan adalah 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) berbanding Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024 yang menetapkan 39.95 sen/kWj.
Sebagai info, jadual tarif elektrik semasa telah berkuat kuasa sejak tahun 2014.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam (26 Disember) memaklumkan tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
![](https://www.therakyatpost.com/wp-content/uploads/2024/12/Feature-Image_TNB_Jun2020.jpg.webp)
“Sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 (antara kadar tarif asas baharu dan lama) akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik,” katanya.
Memetik laporan Astro Awani, saham TNB menunjukkan peningkatan pada sesi awal dagangan pada hari ini (27 Disember) selepas pengumuman mengenai cadangan tarif elektrik yang baharu.
Harga saham melonjak sebanyak 24 sen daripada RM14.18 kepada RM14.12 pada akhir dagangan semalam (26 Disember).
Perdana Menteri Arah TNB Beri Penjelasan Tentang Kenaikan Tarif Elektrik
Memetik laporan Buletin TV3, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik sehingga ia boleh menjejaskan rakyat.
![](https://www.therakyatpost.com/wp-content/webp-express/webp-images/uploads/2024/12/tarif-elektrik.jpg.webp)
Tambah Anwar, kenaikan tersebut sepatutnya hanya dikhususkan kepada golongan maha kaya atau industri yang meraih keuntungan luar biasa tanpa melibatkan rakyat.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu hanya membabitkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya ataupun industri yang mencatat keuntungan,” katanya.
Susulan itu, beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk meminta penjelasan daripada pihak TNB atas pengumuman kenaikan tarif berkenaan.
Jelasnya lagi, beliau memahami peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh TNB. Namun Anwar berpendapat ia tidak sepatutnya menjejaskan hampir keseluruhan masyarakat.
“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh membabitkan atau (meletakkan) kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” ujarnya.