fbpx
Now Reading
“Khas Buat Warga Wilayah Persekutuan” – Jawi Sedia Khidmat Pengurusan Jenazah Secara Percuma

“Khas Buat Warga Wilayah Persekutuan” – Jawi Sedia Khidmat Pengurusan Jenazah Secara Percuma

Jawi menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma bagi golongan asnaf, tidak berkemampuan, jenazah tidak dituntut atau tidak berwaris serta saudara baharu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap yang hidup pasti akan mati, begitulah lumrah kehidupan manusia di muka bumi ini yang tidak selamanya kekal dan abadi.

Kematian seseorang adalah tanpa mengira waktu dan usia di mana segala harta serta pangkat yang ada di dunia ini akan ditinggalkan begitu sahaja kerana yang dibawa ke alam barzakh hanyalah amalan semata-mata.

Namun, bersediakah kita untuk berdepan dengan kematian? Bukan hanya dari segi amalan, tetapi juga dari segi kewangan supaya keluarga tidak terbeban termasuk sewaktu menguruskan jenazah.

Jawi sedia khidmat pengurusan jenazah percuma

Bagaimanapun, kini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma bagi golongan asnaf, tidak berkemampuan, jenazah tidak dituntut atau tidak berwaris serta saudara baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya pada semalam (29 Disember) berkata, keutamaan akan diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Antara sumbangan Jawi ialah menguruskan tuntutan fardhu kifayah tanpa mengira latar belakang dan umur bagi jenazah yang berwaris atau tidak berwaris, tidak dituntut, mualaf dan lain-lain.

“Khidmat Jawi kepada warga Wilayah Persekutuan ini patut diketengahkan sebagai satu agensi kerajaan yang sentiasa berkhidmat untuk ummah dan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Jawi sentiasa jadi peneraju dalam pengurusan hal ehwal Islam

Menurutnya, Jawi merupakan sebuah jabatan yang sentiasa menjadi peneraju dalam pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan termasuk dalam pengurusan jenazah, sejak awal penubuhannya.

Orang ramai boleh menghubungi pihak Jawi untuk mendapatkan bantuan dan keterangan lanjut mengenai perkhidmatan pengurusan jenazah melalui talian 03-2274 9333 atau e-mel ke aduan@jawi.gov.my atau saluran media sosial Jawi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.