Presiden Azerbaijan Tuntut Rusia Mengaku Tembak Pesawat & Bayar Pampasan
Ilham Aliyev mendakwa punca sebenar pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di Kazakhstan cuba disembunyikan oleh Rusia dan mendesak agar Kremlin membuat permohonan maaf segera.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Beberapa insiden pesawat terhempas telah dilaporkan media dalam tempoh seminggu yang lalu.
Salah satunya merupakan nahas pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Aktau, Kazakhstan sehingga mengorbankan 38 penumpang pada 25 Disember lalu.
Pesawat terbabit dikatakan mungkin terhempas akibat berlanggar dengan sekumpulan burung, keadaan yang digelar sebagai ‘bird strike’.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pesawat Terhempas Di Kazakhstan, 28 Penumpang Dilaporkan Terselamat
Presiden Azerbaijan Dakwa Pesawat Ditembak Rusia
Dalam perkembangan terkini, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev telah secara terbuka mendakwa bahawa pesawat tersebut terhempas akibat ditembak oleh Rusia.
Menurut media tempatan Azerbaijan, dakwaan berkenaan dibuat olehnya ketika ditemu ramah di Lapangan Terbang Baku.
Dalam masa sama, Aliyev turut mendakwa bahawa punca sebenar insiden cuba disembunyikan oleh Rusia dan mendesak agar Kremlin membuat permohonan maaf segera.
Kerajaan Azerbaijan Marah Kerana Rusia Cuba Sembunyi Fakta Sebenar
Terdahulu, pihak berkuasa Azerbaijan memberi bayangan bahawa pesawat Azerbaijan Airlines J2-8243 terkena tembakan oleh sistem pertahanan udara Rusia ketika percubaan mendarat di Grozny, Chechnya.
Tambah Aliyev, fakta menunjukkan terdapat kesan tembakan pada pesawat tersebut ketika terbang berhampiran Grozny yang menyebabkannya hampir hilang kawalan.
Malah, Aliyev berkata sistem elektronik peperangan Rusia yang aktif ketika itu mengakibatkan pesawat terbabit hilang kawalan.
“Fakta bahawa badan pesawat dipenuhi lubang menunjukkan bahawa teori pesawat berlanggar dengan sekumpulan burung adalah di luar perbincangan sama sekali. Mungkin apabila pesawat ditembak, juruterbang menganggapnya sebagai perlanggaran dengan burung,” jelasnya.
Aliyev berkata perkara itu mungkin tidak disengajakan, tetapi tindakan Rusia yang cuba menyembunyikan fakta menyebabkan kerajaannya berasa marah, lapor Awani.
Sehubungan itu, Aliyev mendesak agar Rusia memohon maaf, mengaku salah, menghukum pihak bertanggungjawab, dan membuat bayaran pampasan kepada kerajaan Azerbaijan serta ahli keluarga kesemua penumpang dalam penerbangan terbabit.
Aliyev Percaya Tembakan Berlaku Secara Tidak Sengaja
Menerusi satu video yang dimuat naik di laman X, Aliyev berkata agensi rasmi Rusia mengeluarkan teori bahawa pesawat terhempas akibat letupan tangki gas di dalam pesawat, yang jelas menunjukkan cubaan menyembunyikan isu tersebut.
Aliyev dalam masa sama mempercayai pesawat terbabit ditembak secara tidak sengaja dan bukan disebabkan oleh tindakan keganasan yang disengajakan.
Katanya, Rusia sepatutnya mengakui salah dan memohon maaf dari Azerbaijan pada masa yang tepat, serta memaklumkan perkara sebenar kepada masyarakat umum.
“Malangnya pada tiga hari pertama, kami tidak mendengar apa-apa dari Rusia selain teori-teori yang tidak masuk akal,” ujarnya.
Putin Mohon Maaf Tetapi Tidak Mengakui Terlibat Secara Langsung
Terdahulu, Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengemukakan permohonan maaf kepada Aliyev akibat insiden nahas pesawat terbabit, tetapi tidak mengakui bertanggungjawab secara langsung.
Namun Putin menjelaskan bahawa pesawat tersebut telah melakukan beberapa cubaan mendarat di Grozny ketika sistem pertahanan udara Rusia sedang aktif sebagai tindak balas serangan dron oleh Ukraine.
Putin ketika itu turut memaklumkan kepada Aliyev bahawa jawatankuasa siasatan Rusia telah memulakan siasatan jenayah terhadap pelanggaran keselamatan trafik udara dan undang-undang operasi.