Polis Sabah Sahkan Fahmi Reza Ditahan, Bantu Siasatan Bawah Akta Hasutan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata lebih 30 laporan polis dibuat di Sabah terhadap Fahmi Reza melibatkan perbuatan menghasut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Fahmi Reza merupakan nama aktivis yang tidak asing lagi khususnya dalam isu politik negara.
Menerusi karya grafik satiranya, dia pernah mengkritik beberapa individu ternama dan berpengaruh termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 Tun Musa Aman yang mula dilantik berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Malah Fahmi sebelum ini pernah ditahan pihak polis apabila menghasilkan karya kontroversi yang memaparkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai badut.
Fahmi Reza Ditahan Di Kota Kinabalu
Terkini, pereka grafik tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948 selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Penampang, Kota Kinabalu semalam (30 Disember).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah petang semalam, Jauteh berkata lebih 30 laporan polis dibuat di Sabah terhadap Fahmi melibatkan perbuatan menghasut.
Jelasnya, laporan yang dibuat melibatkan tindakan Fahmi menampal karikatur melibatkan imej Tun Musa Aman di beberapa kawasan termasuk Kota Kinabalu, selain melibatkan hasutan yang sedang disiasat.
Poster Karikatur Dikoyak Pada Hari Sama Ditampal
Fahmi pada Jumaat (27 Disember) lalu telah memuat naik satu video yang merakamkan saat dia menampal poster karikatur tersebut di Asia City, Kota Kinabalu.
“Solidariti dengan rakyat Sabah yang melawan rasuah, melawan korupsi,” katanya.
Namun poster tersebut telah dikoyakkan pada hari yang sama, hanya 5 jam setelah ia ditampal.
Fahmi Reza Maklum Lebih 10 Laporan Polis Dibuat Terhadapnya
Pada Sabtu (28 Disember), Fahmi memaklumkan bahawa dua laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung perkara itu.
Hantaran terakhir olehnya menjelaskan dia sedang dalam perjalanan ke balai polis bagi sesi soal siasat.
“Rasanya ada lebih 10 laporan polis dibuat terhadap aku,” jelasnya.
Fahmi dalam itu berkata dia disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Kalau aku tak update sebelum jam 8pm maknanya aku akan tidur lokap malam ni,” katanya.
Fahmi Pernah Disoal Siasat Di Bukit Aman
Fahmi pada 19 Disember lalu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung imej satira bekas Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat itu.
Namun katanya siasatan ketika itu tamat lebih awal berbanding jangkaan dan dia tidak ditahan polis.
Dalam masa sama, Fahmi mendakwa dia dimaklumkan bahawa laporan polis telah dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dia ketika itu telah disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik hantaran satira tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: “Tak Perlu Bermalam Di Lokap” – Fahmi Reza Disoal Siasat Isu Satira ‘Koruptor No.1 Sabah’
Baca Artikel Berkaitan: Bukan Sahaja Dikecam, Lukisan Monyet Dengan Pakaian Istana Buatkan Fahmi Reza Kini Ditahan Polis