fbpx
Now Reading
PUSPAKOM Digempur JPJ, 2 Kakitangan Dipanggil Rakam Keterangan

PUSPAKOM Digempur JPJ, 2 Kakitangan Dipanggil Rakam Keterangan

Sebelum ini, JPJ mengesan beberapa kenderaan berat menggunakan tayar celup uzur dan tidak selamat yang berisiko untuk meletup pada bila-bila masa menerusi Op Mengejut PUSPAKOM.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mengesahkan dua kakitangannya dari cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, kedua-dua kakitangan itu dijadualkan memberi keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ hari ini (31 Disember).

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebab mengapa kedua-dua kakitangan PUSPAKOM itu diarah memberi keterangan, lapor Berita Harian.

JPJ kesan kenderaan berat guna tayar celup

Sebelum ini, pihak JPJ mengesan beberapa kenderaan berat menggunakan tayar celup uzur dan tidak selamat yang berisiko untuk meletup pada bila-bila masa.

Perkara itu terbongkar selepas pihak JPJ melakukan Op Mengejut PUSPAKOM secara serentak di seluruh negara kelmarin (29 Disember).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi terbabit bertujuan memastikan setiap kenderaan di PUSPAKOM mematuhi standard ditetapkan.

115 lori di PUSPAKOM Wangsa Maju perlukan pelbagai penambahbaikan

Sebagai contoh pemeriksaan di PUSPAKOM Wangsa Maju, Muhammad Kifli berkata dalam tempoh dua jam operasi pihaknya memeriksa 115 lori sebelum menemui beberapa perkara yang memerlukan pelbagai penambahbaikan.

“Pertama sekali dari segi penggunaan tayar, kita dapati banyak lori menggunakan tayar celup dan ia berada dalam keadaan tidak selamat.

“Apa yang ditemui di sini hari ini, kenderaan yang dibenarkan berada di atas jalan raya masih belum selamat sebab perkara yang menjurus kepada kemalangan banyak kita temui, terutama sekali apabila kita buat pemeriksaan mengejut di PUSPAKOM ini.

“Kita temui masih banyak lagi lori ataupun bas yang datang untuk pemeriksaan di PUSPAKOM menggunakan tayar tidak selamat. Kita dapati tayar tersebut sangat dalam keadaan uzur dan saya percaya kalau tayar itu digunakan atas jalan raya, bila-bila masa sahaja ia akan meletup,” katanya.

Memeti Sinar Harian pula, tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua lori telah disita.

“Dalam operasi hari ini di Puspakom Wangsa Maju bagi tempoh dua jam, JPJ telah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan,” katanya.

JPJ jalankan siasatan terhadap kenderaan disita serta kakitangan PUSPAKOM

Menurutnya, susulan pemeriksaan mengejut itu, JPJ akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kenderaan disita serta kakitangan PUSPAKOM yang meluluskan lori yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

Katanya, penyelia dan kakitangan PUSPAKOM bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu sudah diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ semalam (30 Disember) untuk disoal siasat dan satu kertas siasatan akan dibuka berhubung kes itu dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima.

“Saya sudah maklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM mengenai perkara ini dan pihaknya berjanji tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kakitangan yang dikesan melakukan kerja yang tidak sepatutnya,” katanya lagi

Menurutnya lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada segelintir kes sama namun berjaya dilepaskan sebelum ini.

Sebuah kenderaan diperiksa PUSPAKOM Wangsa Maju disita JPJ

Sementara itu, Mahmood turut mengesahkan sebuah kenderaan diperiksa di cawangan Wangsa Maju disita JPJ kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu sah.

“PUSPAKOM menegaskan kakitangan terbabit tidak akan dilindungi daripada sebarang tindakan disiplin dalaman, sekiranya terbukti ada salah laku.

“Bagi memastikan integriti pemeriksaan PUSPAKOM, syarikat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti diperuntukkan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja,” ujar Mahmood.

Baca Artikel Berkaitan: Trend Kemalangan Disebabkan Tayar Lori Cetus Kebimbangan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.