Polis Siasat Kematian 4 Individu Selepas Hadir Konsert ‘Pinkfish’ – “Tiada Kesan Kecederaan Luaran”
Menurut Ketua Polis Selangor, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway, Subang Jaya pada Selasa lalu (31 Disember).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kematian yang melibatkan dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati keempat-empat individu itu telah menghadiri konsert Pinkfish.
“Bedah siasat telah dijalankan pada 1 Januari dan punca kematian masih ‘pending laboratory investigation’” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kesan kecederaan luaran
Menurutnya, pemeriksaan ke atas keempat-empat individu terbabit yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun mendapati tiada sebarang kecederaan luaran yang dikesan.
Susulan itu, Hussein berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan melibatkan kesemua individu itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau hubungi pusat kawalan daerah di talian 03-78627222 untuk menyalurkan maklumat,” katanya lagi.
Penganjur Pinkfish akan beri kerjasama penuh terhadap pihak berkuasa
Sementara itu, pihak penganjur konsert Pinkfish Countdown 2024 turut berduka cita dengan insiden tersebut.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik hari ini (2 Januari) di Instagram @pinkfishfestival, pihaknya komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan.
“Kami mengambil maklum daripada pengesahan pihak polis bahawa kematian tersebut berlaku di luar kawasan acara.
“Sementara menunggu hasil siasatan penuh, kami ingin meyakinkan orang awam bahawa setiap langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan acara kami, termasuk Pinkfish Countdown 2024.
“Langkah-langkah ini seperti kehadiran lebih 100 anggota polis dan penempatan kakitangan keselamatan terlatih serta unit K9 di semua pintu masuk,” katanya.