fbpx
Now Reading
Tular Kanak-Kanak Umur 6 Tahun Maut Tersepit Meja Lipat, Polis Sahkan Tiada Unsur Jenayah

Tular Kanak-Kanak Umur 6 Tahun Maut Tersepit Meja Lipat, Polis Sahkan Tiada Unsur Jenayah

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan menjelaskan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (2 Januari), kecoh di media laporan mengenai kejadian menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang maut kerana dipercayai tersepit celah besi meja lipat.

Mangsa yang dikenali sebagai Nur Aqifah Humaira Abdullah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar pada Rabu (1 Januari) lalu.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain seorang diri di bahagian belakang kediamannya yang terletak di Taman Seri Putera kira-kira jam 4.15 petang semalam (1 Januari).

Manakala ibu serta adik-beradik mangsa yang lain berada di dalam rumah dan hanya menyedari insiden tersebut selepas tidak mendengar suara dari belakang rumah mereka.

Punca Kematian Akibat Pembengkakan Otak

Terbaharu, polis mengesahkan punca kematian kanak-kanak perempuan itu akibat pembengkakan otak berikutan kekurangan oksigen.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Chong Boo Khim, ini selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Parit Buntar pada hari ini (2 Januari).

Jelas beliau, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas lehernya tersepit di celah besi meja lipat.

“Mangsa ditemui oleh abang sulungnya dalam keadaan tersepit dan dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Tambah Boo Khim, kes kini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada masa yang sama, Boo Khim turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar memastikan tahap keselamatan kanak-kanak di rumah atau tempat awam terjamin.

Mangsa Suka Bermain Secara Ekstrem

Memetik Sinar Harian, arwah Nur Aqifah disifatkan sebagai seorang yang aktif dan suka bermain secara ekstrem.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu mangsa yang dikenali sebagai Riana Fitriasih Kusnan.

Jelas Riana, anak bonsunya itu tetap bermain dengan lasak walaupun telah berulang kali dilarang dan dimarahi hingga berlakunya tragedi tidak diingini.

“Nur Aqifah memang agak lasak berbanding adik-beradiknya yang lain, dia suka main hingga bahayakan diri.

“Walaupun beratus kali dilarang tapi dia tetap mahu mencuba sehingga kejadian yang berlaku meragut nyawanya sendiri,” ceritanya.

Sedih & Terkejut Dengan Insiden Yang Menimpa

Tambah Riana yang juga ibu tunggal, sebaik melihat keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri ketika ditemui, dia dan anak sulung yang berusia 10 tahun terus mengeluarkan mangsa dari celahan besi sebelum mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital.

Walau bagaimanapun, dia dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa anaknya itu tidak dapat diselamatkan ketika mendapatkan rawatan.

“Memang kami sekeluarga sedih dan terkejut dengan kejadian ini, kehilangannya amat dirasai memandangkan dia selalu menceriakan suasana rumah kami di sini.

“Ayah mereka telah meninggal dunia dan kami empat beranak tinggal di rumah ini sejak dua bulan lalu.

“Setiap hari mesti ada saja telatah dan kerenah dia yang kadangkala buatkan saya marah kerana kelakuannya itu membahayakan diri,” terangnya lagi.

Tidak Pernah Tinggalkan Anak Bongsu

Tambah Riana, dia tidak pernah meninggalkan anak bongsunya itu kerana bimbang dan takut sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini akibat tindakan anaknya yang suka mencuba sesuatu yang ekstrem.

Walaupun sedih dengan insiden yang berlaku, Riana yang bekerja sebagai tukang cuci rumah sambilan itu reda dengan ketentuan Allah.

Difahamkan, jenazah kanak-kanak itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat kira-kira jam 2.15 petang tadi.

Baca Artikel Berkaitan: Hasrat Solat Berjemaah Tak Kesampaian, Kanak-Kanak Maut Ditimpa Tembok Saat Berwuduk

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Lima Tahun Maut Selepas Ibu Tertinggal Dalam Kereta

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.