fbpx
Now Reading
Kelulusan Permit Konsert Ditangguh Serta Merta Susulan Kematian Di Pinkfish – Polis Selangor

Kelulusan Permit Konsert Ditangguh Serta Merta Susulan Kematian Di Pinkfish – Polis Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa pengambilan bahan terlarang dan kesesakan pengunjung yang ramai berkemungkinan punca kematian empat individu di konsert Pinkfish baru-baru ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Selasa lalu (31 Disember), orang ramai dikejutkan dengan kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway, Subang Jaya.

Menurut polis, pemeriksaan ke atas keempat-empat individu terbabit yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun mendapati tiada sebarang kecederaan luaran yang dikesan.

Pihak penganjur konsert Pinkfish Countdown 2024 yang berduka cita dengan insiden terbabit selain berkata pihak mereka akan komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

Baca Artikel Berkaitan: Kematian 2 Lelaki & 2 Wanita Di Konsert Pinkfish: Tiada Kesan Kecederaan Luaran – Polis

Polis Tangguh Beri Permit Untuk Penganjuran Konsert Di Selangor

Hari ini (3 Januari), Polis Selangor memaklumkan bahawa pihaknya akan menangguh sementara kebenaran permit penganjuran konsert di negeri itu susulan kes kematian berkait penyalahgunaan dadah di konsert Pinkfish di Bandar Sunway, pada ambang tahun baharu 2025.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangguhan permit itu berkuat kuasa serta-merta.

“Di masa hadapan dalam sebarang anjuran konsert, semua pihak penganjur perlu beri keyakinan bahawa mereka boleh kawal daripada sebarang kemasukan dadah dalam mana-mana konsert.

“Sekiranya perkara ini gagal dipatuhi, kita tidak boleh benarkan konsert dilakukan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian,” kata beliau.

Kesesakan Di Konsert & Pengambilan Dadah Dipercayai Punca Kematian 4 Individu

Dalam pada itu, Hussein Omar turut menyifatkan kehadiran pengunjung mencecah 14,000 di konsert Pinkfish adalah angka yang cukup ramai.

Oleh disebabkan itu, pihak polis perlu meneliti sebarang penganjuran yang berlangsung pada masa akan datang. Sekiranya konsert itu dibenarkan, maka penganjur perlu menitikberatkan beberapa aspek termasuk:

  • Mematuhi jumlah peserta mengikut keluasan tempat
  • Tahap keselamatan konsert
  • Pengudaraan yang baik di lokasi konsert diadakan

“Kemungkinan (kes Pinkfish) kerana kesesakan terlalu ramai dan ditokok tambah dengan pengambilan barang terlarang dan sebagainya,” jelas beliau.

Kelulusan Permit Ditangguh Sehingga Penganjur Boleh Patuhi Syarat Ditetapkan

Susulan itu, pihak polis akan menangguhkan kelulusan permit konsert sehingga pihak berkuasa dapat kepastian sama ada penganjur boleh mengawal tiga perkara itu atau sebaliknya.

“Terutama isu pengedaran dadah dalam konsert. Ini melibatkan penganjuran konsert yang berkait elemen muzik, alkohol dan jumlah pengunjung yang ramai,” tambah beliau lagi.

Mangsa Maut Dipercayai Ambil Bahan Terlarang

Sebelum ini, siasatan awal polis mendapati keempat-empat mangsa yang maut itu dipercayai mengambil pil ekstasi (ecstasy) .

Menurut PDRM, pihaknya menerima enam laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kedua-dua hospital ini menerima tujuh pesakit yang mengalami simptom sama.

Empat daripada mereka meninggal dunia seperti dilaporkan sebelum ini manakala dua lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi sudah discaj dari hospital.

Baca Artikel Berkaitan: 4 Individu Maut Selepas Hadir Konsert Pinkfish Dipercayai Ambil Pil Ekstasi – Polis

Polis Dedah Ada Pengunjung Yang Beli Pil Ekstasi Dalam Premis Di Konsert

Polis juga tidak menolak kemungkinan wujudnya aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert ambang tahun baharu terbabit.

“Siasatan kami turut mendapati ada antara mereka yang dapat (pil ekstasi) daripada luar dan ada juga yang beli dalam premis konsert itu.

“Kita tidak menafikan ada individu yang berlegar di situ (sekitar premis konsert) dan menjual pil ekstasi dengan harga RM50 bagi satu pil. Kebiasaannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100,” kata Hussein Omar, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, polis kini dalam proses siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam penjualan pil ekstasi di konsert terbabit.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.