Deepfake Berunsur Lucah Di Britain Adalah Kesalahan Jenayah & Boleh Didakwa
Data daripada Revenge Porn Helpline yang berpusat di United Kingdom (UK) menunjukkan penyalahgunaan imej berasaskan deepfake meningkat lebih daripada 400% sejak 2017.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Saban hari, teknologi semakin canggih dan segalanya boleh diakses di hujung jari dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon pintar sahaja.
Kemajuan dalam teknologi ini sememangnya memberi banyak kebaikan dan kemudahan kepada orang ramai, namun ia juga boleh mendatangkan keburukan jika disalah guna seperti ‘deepfake’.
Teknoliogi deepfake adalah klip video, gambar atau audio yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga kelihatan seperti tulen dan ia juga boleh meniru wajah serta suara sesiapa sahaja untuk pelbagai perkara termasuklah unsur-unsur lucah.
Buat dan sebar deepfake berunsur lucah di Britain satu kesalahan jenayah
Terbaharu, kerajaan Britain bakal menyenaraikan perbuatan menghasilkan dan menyebarkan deepfake atau palsu tulen berunsur lucah sebagai kesalahan jenayah di negara itu.
Menurut Berita Harian yang memetik Reuters, perkara terbabit merupakan salah satu usaha Britain untuk menangani peningkatan mendadak dalam penyebaran imej yang memaparkan deepfake yang kebanyakannya menyasarkan wanita.
Sebelum ini, pada 2015 dahulu, penerbitan foto atau video intim tanpa kebenaran dengan niat untuk menyebabkan tekanan emosi yang dikenali sebagai pornografi dendam dikira sebagai jenayah di Britain, namun undang-undang itu tidak meliputi penggunaan imej palsu.
Penyalahgunaan imej deepfake meningkat lebih 400% sejak 2017
Data daripada Revenge Porn Helpline yang berpusat di United Kingdom (UK) menunjukkan penyalahgunaan imej berasaskan deepfake meningkat lebih daripada 400% sejak 2017.
Di bawah kesalahan baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Britain itu, pelaku boleh didawa kerana membuat dan menyebarkan imej sedemikian.
Kementerian Keadilan dalam satu kenyataan berkata, tiada alasan untuk mencipta deepfake berunsur lucah seseorang tanpa kebenaran individu itu.
Menurut kementerian terbabit, butiran lanjut mengenai kesalahan baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ambil gambar intim tanpa kebenaran juga akan jadi satu kesalahan
Difahamkan, kerajaan juga sedang merancang untuk mewujudkan kesalahan baharu bagi mengambil gambar intim tanpa kebenaran dan pemasangan peralatan dengan niat untuk melakukan kesalahan terbabit.
Mereka yang didapati bersalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Kesalahan baharu itu akan dimasukkan dalam rang undang-undang jenayah dan kepolisian kerajaan, yang akan dibenrangkan di parlimen.
Bagaimanapun, tarikh pembentangan masih belum ditetapkan lagi buat masa ini.
Sekadar info, deepfake bukan hanya digunakan di luar negara, malah di Malaysia juga sebelum ini pernah berlaku kepada beberapa artis termasuk pelakon, Zul Ariffin yang dipercayai pernah menjadi mangsa teknologi tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: