Pulau Pinang Antara 7 Destinasi Terbaik Untuk Dilawati Di Asia Tenggara
Menurut Exco Pulau Pinang, Wong Hon Wai negeri itu sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana pencapaian cemerlang dalam bidang pelancongan perubatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebut sahaja tentang Pulau Pinang, pasti dah terbayang keunikan makanan dan lokasi menarik yang ada di negeri itu.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika Pulau Pinang sering menjadi pilihan tidak kira pelancong tempatan mahupun luar negara sebagai destinasi yang wajib dikunjungi.
Malah, disebabkan keunikan dan keistimewaan negeri yang dikenali sebagai pulau mutiara itu, ia telah beberapa kali tersenarai sebagai antara destinasi pelancongan terbaik di Asia.
Baca Artikel Berkaitan: Pulau Pinang Raih Tangga Ke-2 Untuk Destinasi Terbaik Buat Pengembara Solo Sekitar Asia Tenggara
Tersenarai Antara 7 Lokasi Terbaik Dilawati Di Asia Tenggara
Terbaharu, syarikat penerbit buku panduan perjalanan terkenal Lonely Planet telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, syarikat itu juga turut meletakkan Taman Negara Khao Sok di Thailand, Cao Bang (Vietnam), Siargao (Filipina), Luang Prabang (Laos), Amed (Bali) dan Gili Air (Indonesia) dalam senarai tersebut.
Jelas Wong, senarai yang diterbitkan sehari selepas tahun baharu itu dibuat kerana Pulau Pinang kaya dengan sejarah dan budaya.
“Dalam penerangannya mengenai Pulau Pinang, Lonely Planet menyatakan Pulau Pinang yang terletak di Malaysia adalah destinasi yang meriah daripada budaya Melayu, Cina, dan India. Ia dapat dilihat pada makanan, seni bina dan tradisinya.
“Ibu kota pulau tropika iaitu George Town, berjaya mengubah warisannya menjadi sesuatu yang mampu menarik pelancong sambil mengekalkan keasliannya.
“Dalam satu bandar yang kecil, pelancong boleh melawat rumah klan Cina, masjid, kuil Hindu dan bangunan kolonial British,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Pulau Pinang Turut Cemerlang Dalam Sektor Pelancongan Perubatan
Pada masa yang sama, Wong Hon Wai turut menjelaskan negeri yang sinonim dengan nasi kandar itu sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana pencapaian cemerlang dalam bidang pelancongan perubatan.
Jelasnya, prestasi Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan perubatan yang paling lama bertapak di Malaysia amat membanggakan.
“Menurut statistik Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, dalam enam bulan pertama tahun 2024, jumlah pendapatan industri pelancongan perubatan negara mencapai RM1.15 bilion, dengan Pulau Pinang menerajui pasaran dengan pegangan sebanyak 45%.
“Pada tahun 2023, hospital-hospital di bawah Penang Medical Tourism Centre telah menerima 406,469 pelancong perubatan antarabangsa, menghasilkan pendapatan yang mengagumkan iaitu sebanyak RM831.94 juta,” terangnya lagi.
Pelancong Perubatan Meningkat Jika Dibandingkan Dengan Tahun 2022
Tambah Wong lagi, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun 2022 yang hanya menerima 194,327 pelancong perubatan dengan pendapatan sebanyak RM378.4 juta.
“Angka ini menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 109.2% dan 119.9%. Rekod-rekod ini jelas mengukuhkan kekuatan Pulau Pinang dalam sektor pelancongan perubatan global.
“Kelebihan Pulau Pinang dalam pelancongan perubatan sangat jelas dan luar biasa. Bagaimanapun, ruang untuk penambahbaikan sentiasa ada.
“Baru-baru ini, dengan kerjasama strategik bersama UnionPay International, perkhidmatan dalam sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang dijangka akan terus dipertingkatkan,” katanya.
Congrats Penang been listed as 7 of the Best Places to visit in Southeast Asia by Lonely Planet….
Posted by Wong Hon Wai 黄汉伟 on Monday 6 January 2025
Baca Artikel Berkaitan: Bawa 100 Pekerja Bercuti Di Pulau Pinang, Ramai Nak Minta Kerja Dengan Khairul Aming [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Exco Pulau Pinang Bidas Laporan Bukit Bendera Sebagai 9 Daripada 100 Destinasi Perangkap Pelancong