Penjaja Gerai Didenda RM3,000 Gara-gara Muat Naik Hantaran Hina Agong Di Platform X
Tertuduh, Zaidi Mat Sah dalam masa sama memohon agar diringankan hukuman kerana telah insaf serta menyedari kesalahannya memuat naik hantaran berunsur penghinaan kepada institusi Diraja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, 3R (kaum, agama, institusi raja) merupakan isu sensitif di Malaysia. Namun masih ada segelintir rakyat yang memandang rendah dan bertindak menghina isu berkenaan.
Sebelum ini, tular kes individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).
Pihak polis bagaimanapun telah menahan lelaki tempatan berumur 34 tahun itu di Kelantan pada 28 November 2023. Jelas pihak berkuasa, pengguna Facebook tersebut memuat naik komen kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Cekup 2 Lelaki Di Kelantan Kerana Hina Agong & Ugut Bunuh PM Anwar
Peniaga Gerai Didenda RM3,000 Kerana Hina Agong Di X
Hari ini (8 Januari), seorang peniaga makanan tepi jalan didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghasut berbaur penghinaan melibatkan YDPA Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di aplikasi X (Twitter) pada hujung tahun lalu (2024).
Hakim Hazeelia Muhammad turut memerintahkan tertuduh, Zaidi Mat Sah, 56, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Zaidi didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah sekitar Jalan Sutera Kuning 2, Taman Sutera, Johor Bahru pada pukul 5.45 pagi, 29 Disember 2024.
Tertuduh Hina Agong ‘Tiada Duit’
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zaidi didakwa membuat satu hantaran di laman X menerusi akaun BitZ@zatocent yang mana kenyataan tersebut mendatangkan penghinaan kepada YDPA.
“Sebagai rujukan rakyat Malaysia untuk PRU16, kes Hannah Yeoh menjadi duta Tuhan dan menyebarkan agamanya secara senyap melebihi kes GISBH namun agong mendiamkan diri.
“Jadi saya tolong jawab ya kenapa agong masih membisu, buat masa ini agong masih lagi perlukan duit, duit masih tidak cukup kalau dia berbunyi nanti duit tak masuk. Harap rakyat Malaysia faham ya,” hantaran dimuat naik oleh tertuduh, lapor Kosmo.
Menerusi carian kami, akaun itu tidak boleh lagi diakses di platform media sosial terbabit.
Penjaja Minta Hukuman Diringankan, Tak Cakna Ia Adalah Kesalahan 3R
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif memohon mahkamah untuk memberi hukuman setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius.
Tertuduh dalam rayuan bagaimanapun memohon agar diringankan hukuman kerana telah insaf serta menyedari kesalahannya. Dia juga berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara yang sama.
“Saya seorang penjaja tepi jalan dan menanggung isteri serta anak masih kecil selain turut menjaga ibu mertua, kakak dan adik orang kurang upaya (OKU) terlantar.
“Saya juga ingin maklumkan kenyataan tersebut bukan tulisan asal saya, tetapi saya hanya ‘copy paste’ kemudian ‘repost’ sahaja. Saya terkhilaf dan tidak tahu ia merupakan kesalahan 3R (kaum, agama, raja),” jelas Zaidi yang tidak diwakili peguam.
Sementara itu, tertuduh yang ditemani isterinya juga telah membuat pembayaran denda terbabit selepas prosiding mahkamah berakhir.
Seksyen Kesalahan Untuk Isu 3R Di Malaysia
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu hantaran di laman Facebook sebelum ini ada menjelaskan tentang fokus inisiatif pihak mereka bagi menangani isu 3R. Berikut adalah seksyen yang boleh ditangkap untuk kesalahan 3R:
#1. Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948
Akta ini berkuat kuasa untuk kesalahan menghasut institusi diraja atau kaum. Antaranya:
- Mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja.
- Mengembangkan perasaan niat jahat permusuhan antara kaum.
Hukuman: Denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
#2. Seksyen 298A Kanun Keseksaan
Akta ini diperuntukkan untuk kesalahan melibatkan agama. Antaranya:
- Atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci, ada niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Hukuman: Penjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi lima tahun.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Hina Agong, TMJ & PMX: TikToker Rayyan Wong Bebas Dengan Jaminan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Tular Hantaran Mengandungi Unsur Hina Agong, MCMC Jalankan Siasatan