Isu Tiada Masjid Dalam ‘Montaj’ Tahun Melawat Malaysia 2026, Ini Penjelasan Tiong King Sing
King Sing yang merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi TMM 2026 dengan lebih terperinci dalam tempoh terdekat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (9 Januari), kecoh di media sosial mengenai montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ia menjadi bualan selepas Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin mempersoal kandungan montaj tersebut yang tidak memaparkan keindahan seni bina masjid di negara ini.
Menurut Dr Radzi Jidin, rumah ibadat bagi agama lain seperti Batu Caves dan gereja dipaparkan dalam video tersebut.
Dek kerana itu, dia meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
Pihak Tourism Malaysia kemudiannya dilihat mengehadkan sebarang komen di Facebook. Namun, ianya tidak meredakan isu berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: “Kenapa Tiada Masjid Dalam Montaj?” – Dr Radzi Jidin Persoal Video Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026
Ia Hanya Video Pelancaran Ringkas, Kata King Sing
Terbaharu, King Sing menjelaskan elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi TMM 2026 dengan lebih terperinci dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, video montaj yang mendapat kritikan ramai kerana tidak memaparkan elemen masjid itu hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek yang berdurasi 41 saat.
Tambah King Sing yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu, fokus utama montaj tersebut adalah menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif. Oleh itu, dia meminta agar semua pihak tidak mempolitikkan isu tersebut.
“Saya berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.
“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini termasuk seni bina masjid yang memukau.
“Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut seperti silat, tarian ngajat dan tarian sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Kesal Dengan Tindakan Segelintir Pihak Memanipulasikan Keadaan
Tegasnya lagi, tujuan utama video ringkas pelancaran TMM2026 itu adalah mempromosikan keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara menyeluruh.
Ia termasuklah perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa hadapan dan bukanlah agama serta perkauman.
Ekoran itu, King Sing menzahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan isu tersebut sebagai sentimen agama, perkauman dan bahan perpecahan.
“Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh kementerian.
“Saya juga menentang keras tindakan segelintir pihak yang cuba memutarbelitkan usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia Madani.
“Sepatutnya, kita semua mengutamakan perpaduan, saling hormat-menghormati dan kesejahteraan bersama.
“Kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk negara. Saya berharap semua pihak dapat memahami bahawa fokus utama adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni dan budaya,” jelasnya lagi.
Mohon Orang Ramai Tidak Jadikan Montaj TMM2026 Sebagai Isu Perkauman
Pada masa yang sama, King Sing turut memohon orang ramai agar tidak menjadikan montaj TMM2026 sebagai isu agama atau perkauman.
“Ingatlah bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan.
“Jangan biarkan isu-isu sebegini menjadi penghalang keharmonian masyarakat, seterusnya menjejaskan imej negara kita di persada dunia.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan perpaduan dan bekerjasama memastikan usaha promosi negara ini berjalan dengan lancar demi manfaat kita semua,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: