fbpx
Now Reading
Didakwa Pukul 2 Pereka Fesyen, Jurugambar Mengaku Tak Bersalah

Didakwa Pukul 2 Pereka Fesyen, Jurugambar Mengaku Tak Bersalah

Peguam yang mewakili jurugambar terbabit, Datuk Suraj Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh sudah berkahwin dan pendapatan tak menentu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, kami ada melaporkan tentang seorang jurugambar yang didakwa memukul dua pereka fesyen sewaktu berada di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 8 Januari.

Perkara yang berlaku itu telah menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan kedua-dua pereka fesyen berkenaan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Susulan itu, jurugambar terbabit telah ditahan oleh pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Serang 2 Pereka Fesyen, Jurugambar Direman & Dituduh Hari Ini

Jurugambar mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan

Terbaharu hari ini (10 Januari) jurugambar itu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mendatangkan kecederaan.

Jurugambar Muhammad Imran Khairil, 30, atau turut dikenali sebagai Aqo Imran membuat pengakuan tak bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” ujarnya, dipetik Kosmo.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, jurugambar itu didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada dua pereka fesyen yang dikenali sebagai Azmi Abdul Rahman berusia 46 tahun dan Raziman Din berumur 52 tahun dengan menggunakan sebuah kamera sebagai senjata.

Kesalahan itu didakwa dibuat di sebuah hotel, Petaling Jaya pada jam 8.45 malam dan 9 malam pada 8 Januari lepas.

Untuk dua pertuduhan berkenaan, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua darinya.

Tawar RM8,000 untuk diikat jamin bagi setiap pertuduhan

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran ketika prosiding menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 untuk setiap pertuduhan.

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh iaitu Datuk Suraj Singh memohon pihak mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan itu.

“Tertuduh yang sudah berkahwin merupakan jurugambar bebas dengan pendapatan yang tidak menentu. Semasa tangkapan dibuat tertuduh juga tidak menghilangkan diri,” ujarnya yang juga bersama peguam Kailash Sharma.

Sebaik mendengar permohonan dari kedua pihak, Majistret Farah Azura lalu membenarkan jumlah jaminan sebanyak RM3,500 untuk setiap pertuduhan dan juga syarat tambahan di mana tertuduh dilarang mendekati mahupun mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.