Serang 2 Pereka Fesyen, Jurugambar Direman & Dituduh Hari Ini
Jurugambar tersebut didakwa bertindak agresif apabila menyerang dan memukul dua pereka fesyen berkenaan menggunakan kamera miliknya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (9 Januari) tular di media sosial beberapa video memaparkan dua pereka fesyen iaitu Razman dan Razmi yang dipercayai telah dikasari oleh seorang jurugambar.
Menerusi video yang tular kelihatan kedua-dua pereka fesyen berusia 47 dan 53 tahun seperti mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Insiden yang berlaku turut membuatkan keadaan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor menjadi kecoh.
Jurugambar didakwa pukul dua pereka fesyen ditahan dan akan dituduh pada hari ini
Susulan kejadian itu, seorang jurugambar telah ditahan dan direman selama dua hari. Individu berkenaan juga akan dituduh di mahkamah pada hari ini (10 Januari).
Jelas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sharulnizam Ja’afar jurugambar lelaki terbabit ditahan di lokasi kejadian tidak lama selepas perkara itu berlaku.
Sebelum ini, pihak polis turut memaklumkan telah menerima laporan mengenai insiden serangan tersebut jam 11 malam pada 8 Januari.
“Kejadian berlaku di ruang legar aras satu Grand Ballroom sebuat hotel di Petaling Jaya.
“Lelaki terbabit (suspek) berjaya ditahan di tempat kejadian oleh pihak polis. Polis turut merampas sebuah kamera yang digunakan dalam serangan itu,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Jurugambar bertindak agresif dan pukul guna kamera
Terdahulu media ada melaporkan berhubung insiden yang berlaku di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel terbabit.
Dalam insiden tersebut, pasangan pereka fesyen yang juga menghasilkan busana usahawan, Datuk Seri Vida (DSV) bagi acara itu didakwa dipukul menggunakan kamera oleh jurugambar berkenaan.
Jurugambar itu difahamkan bertindakan agresif dengan menyerang serta memukul dua pereka fesyen menggunakan kamera kepunyaannya sewaktu wartawan menemubual DSV.
Cedera di bahagian pipi, insiden dipercayai berlaku kerana isu peribadi
Kejadian menyebabkan pereka fesyen itu mengalami kecederaan di bahagian pipi dalam insiden berkenaan.
“Insiden ini dipercayai berpunca daripada isu peribadi antara suspek dan kedua-dua mangsa.
“Suspek direman dua hari sehingga esok untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.”
Menurut Shahrulnizam lagi, kertas siasatan lengkap juga telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya serta sudah mendapat arahan untuk jurugambar berkenaan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada hari ini (10 Januari).
Pereka fesyen tak tolak isu hutang kereta pada 2019 sebanyak RM20,000 jadi punca diserang jurugambar
Dalam pada itu, memetik laporan mStar, kedua-dua pereka fesyen berkenaan tidak menolak isu hutang menjadi punca mereka diserang oleh jurugambar berkenaan sewaktu acara di hotel tersebut berlangsung.
Razman ketika dihubungi oleh portal itu mengatakan dia begitu mengenali jurugambar berkenaan dan mengakui mempunyai hutang bernilai RM20,000 mengenai penjualan kereta yang dibuat kira-kira 2019.
“Dia (suspek) ada membeli kereta milik Razmi dan kemudian hanya menggunakannya dalam tempoh seminggu lebih sahaja. Katanya kereta itu rosak dan dia tinggalkan di tepi jalan. Dia minta kembali jumlah RM20,000 daripada pembelian kereta itu.
“Benar jumlah tersebut masih belum kami selesaikan. Anggaran sehingga kini kami telah membayar dia dengan jumlah RM6,000.
“Tetapi kami tidak pernah lari. Dia boleh sahaja cari kami dan minta duit. Malah sebelum ini jika dia minta kami akan bayar sedikit demi sedikit. Kami juga berikan wang apabila dia mengadu masalah kewangan,” ujarnya.
Selain itu, pereka fesyen itu turut menyifatkan mereka sudah lama mengenali jurugambar itu dan terkejut dengan keadaan yang berlaku.
“Kami sudah lama kenal dia dan banyak beri peluang untuk dia bekerjasama dengan ramai selebriti. Dia seorang yang baik dan tak pernah tinggal solat.
“Saya pun tidak tahu kenapa dia boleh menyerang sebegitu. Memang rasa terkejut ketika kejadian dan saya tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.
“Sekarang ini saya serahkan semuanya kepada pihak polis. Kami akan teruskan dengan laporan yang telah dibuat. Kejadian itu saya anggap sebagai satu aniaya kerana dia sasarkan ke bahagian muka yang menyebabkan kesan jangka panjang.”