
Isu Produk Sandwich Ham & Cheese: KK Super Mart Gantung Urus Niaga Dengan Pembekal
Pada masa yang sama, KK Super Mart turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar produk Sandwich Ham & Cheese terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan status halal produk Sandwich Ham & Cheese yang dijual dalam dua buah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Dakwaan tersebut mula tular apabila PEMBINA UM telah membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung status halal produk tersebut.
Ekoran dakwaan yang tular, UM menerusi satu kenyataan pada Sabtu (11 Januari) menjelaskan dua premis yang beroperasi selama 24 jam itu telah ditutup serta-merta bagi memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan.
Isu tersebut nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang meminta agar polis menyiasat penjualan produk berkenaan yang dikatakan mempunyai pelekat halal pada bungkusannya.
Namun semalam (13 Januari), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan produk sandwich ham & cheese yang tular itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Sahkan Produk Sandwich Ham & Cheese Tiada Sijil Halal
Urus Niaga Pembekal Sandwich Ham & Cheese Digantung – KK Super Mart
Terbaharu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) telah menggantung urusan perniagaan bersama syarikat pembekal produk Sandwich Ham & Cheese ekoran dakwaan tular berhubung produk tersebut yang diragui status halalnya.
Malah, segala pemprosesan produk tersebut bermula daripada urusan kemasukan ke mana-mana premis lain turut dihentikan susulan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Jelas KK Super Mart, hanya 16 KK Concept Store yang mempunyai kemasukan produk berkenaan dan urus niaga bersama syarikat pembekal itu telah dibekukan.
“Kami difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas kilang terbabit di Sunway Damansara, Petaling Jaya.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan serta kesejahteraan pelanggan kami,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
KK Super Mart Turut Buat Laporan Polis
Pada masa yang sama, KK Super Mart turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar terbabit.
Malah, mereka juga telah mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari 2025 kepada syarikat berkenaan.
“Untuk makluman semua pihak, produk sandwic ini dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan, antaranya adalah di rangkaian KK Concept Store.
“Penjelasan daripada kami adalah, pihak syarikat terbabit telah mengemukakan sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Tulisan yang dipamerkan pada bungkusan roti sandwic tersebut serta penulisan perkataan ini (halal) adalah daripada pihak syarikat terbabit,” jelas mereka lagi.
Tegas KK Super Mart, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan telah mengambil langkah sepatutnya bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian sama di masa hadapan.
Baca Artikel Berkaitan: