
Polis Berhak Periksa Telefon Orang Awam Jika Disyaki Buat Kesalahan, Boleh Ditahan Jika Tak Beri Kerjasama
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, hak memeriksa telefon bimbit orang awam oleh pihak polis itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, tular perkongsian seorang individu yang mempersoal tindakan pihak polis yang didakwa sesuka hati menahan seseorang bagi memeriksa telefon bimbit.
Dakwanya, kes sebegitu semakin meningkat pada masa kini yang mana polis mencari telefon yang disembunyikan. Ini bagi memeriksa sama ada individu membeli nombor ekor, menyimpan gambar lucah atau berjudi menerusi peranti canggih mereka.
Oleh disebabkan itu, lelaki tersebut bertanya sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai protokol yang jelas tentang perkara terbabit.
Polis Berhak Periksa Telefon Bimbit Jika Individu Disyaki Lakukan Kesalahan
Semalam (13 Januari), Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata bahawa pihak polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam jika ada syak wasangka atau maklumat mengenai seseorang dipercayai melakukan kesalahan.
Razarudin berkata, perkara terbabit termaktub di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.
Mengulas lanjut, perkara itu dibenarkan berdasarkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Dalam akta ini, Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer termasuklah telefon bimbit dan Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer ketika membuat pemeriksaan terhadap seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah,” ulas beliau.

PDRM Tak Boleh Periksa Telefon Tanpa Alasan Munasabah
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa kuasa memeriksa tersebut hanya diberikan kepada pegawai polis sekurang-kurangnya berpangkat Inspektor.
Menurut KPN, dalam undang-undang lain, Seksyen 20(g) Akta Polis telah memberi kuasa kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengarahkan seseorang mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.
“Justeru tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat dengan berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah.
“Selain itu, Seksyen 292 Kanun keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya ketika pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia merupakan suatu kesalahan boleh tangkap tanpa waran,” jelas beliau.
Individu Berjudi Dalam Talian Boleh Ditangkap Tanpa Waran
Berdasarkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 juga, aplikasi judi dalam talian di dalam telefon bimbit seseorang merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh ditangkap tanpa sebarang waran tangkap.
Pemeriksaan tanpa waran itu boleh dilakukan sekiranya pegawai mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan sebagai contoh bukti dirosakkan atau dimusnahkan.

Individu Boleh Ditahan Jika Tak Beri Kerjasama Dengan Polis
Kata Razarudin lagi, pihaknya boleh mengambil telefon bimbit seseorang terlebih dahulu dan diperiksa pada waktu yang lain.
“Keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.
“Telefon bimbit diambil daripada orang awam harus bertujuan siasatan yang relevan sesuatu kes disiasat atau mensyaki sesuatu kesalahan telah dilakukan oleh seseorang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Razarudin sekali lagi menegaskan bahawa polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon seseorang jika terdapat laporan atau ada siasatan di bawah kes jenayah dijalankan terhadapnya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Info Penting Tentang Hak Individu Jika Ditahan Pihak Polis. Kena Cakna, Penting Ya!
Baca Artikel Berkaitan: Polis Tiba-Tiba Nak Periksa Telefon? Ketahui Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sebagai Orang Awam [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Anggota Polis Tiada Hak Periksa Telefon Orang Awam Sesuka Hati