
Penyanyi Lagu ‘Bae Sobar Bae’ & 5 Yang Lain Mengaku Ambil Dadah Di Thailand
Kesemua tertuduh termasuk penyanyi dikir barat itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pil 6,059 pil Yaba.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Awal November tahun lalu, negara dikejutkan dengan berita tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita dari Kelantan bersama 6,000 biji pil kuda di salah sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand.
Kesemua mereka ditangkap polis kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di bilik hotel berkenaan selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak berdekatan kawasan itu.
Difahamkan, keenam-enam individu terbabit masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Didakwa miliki dan guna dadah
Terbaharu, penyanyi dikir barat itu, iaitu Eda Ezrin bersama lima individu lain didakwa atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.
Selain Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail yang berusia 30 tahun itu, lima lagi yang didakwa termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.
Memetik laporan Berita Harian, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Daerah Narathiwat pada semalam (14 Januari).
Tak mengaku miliki dadah tetapi mengaku ambil dadah
Kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pil berkenaan, tetapi mengaku bersalah bagi pertuduhan menggunakan dadah di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Narathiwat, Yuan Khao Kham.
Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.
Selain itu, Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain kerana tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
Keenam-enam mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand.
Hakim minta kesemua tertuduh cari bukti dan saksi
Hakim kemudian meminta keenam-enam yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah untuk mencari bukti dan saksi bagi menyokong tuntutan mereka.
“Kes ini adalah kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya mahu memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin.
“Jika biasanya, ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahkamah menyelesaikan kes seperti ini, tetapi saya berjanji akan membuat keputusan awal Mac,” tambahnya.
Hakim turut bertanya kepada enam rakyat Malaysia itu sama ada mereka ingin mengatakan apa-apa mengenai kes ini, namun semuanya hanya menundukkan kepala.
Hakim kemudiannya menetapkan 11, 13 dan 14 Februari depan untuk keenam-enam tertuduh mencari saksi dan menyediakan bukti kepada mahkamah.
Dibawa ke mahkamah untuk prosiding tahanan reman
Terdahulu, Eda Ezrin bersama lima suspek yang lain telah dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk prosiding reman.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapon berkata, keenam-enam suspek itu dihantar ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk mendapatkan perintah tahanan lanjut.
Menurutnya, kesemua suspek akan ditahan di mahkamah sehingga selesai siasatan berhubung kes memiliki pil kuda dan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.
Baca Artikel Berkaitan: