fbpx
Now Reading
2 Lelaki Di Johor Bahru Didakwa Miliki 2,383 Gambar & 400 Video Lucah Kanak-kanak

2 Lelaki Di Johor Bahru Didakwa Miliki 2,383 Gambar & 400 Video Lucah Kanak-kanak

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas lima pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta bahan lucah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Hari ini (17 Januari), dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas lima pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta bahan lucah pada Disember tahun lalu.

Tertuduh Lim Xin Yi, 31, yang bekerja sendiri berdepan tiga pertuduhan, sementara pemandu e-hailing, Goh Kien Yoong, 37, berdepan dua pertuduhan berasingan.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

Mahkamah Sesyen

Xin Yi simpan 2,172 gambar dan 400 video lucah kanak-kanak dalam 2 komputer

Memetik Kosmo, Xin Yi berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen iaitu mempunyai 2,172 gambar dan 400 video bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam dua komputer berbeza.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 10.30 malam di Jalan Hang Lekir 18, Taman Skudai Baru, Skudai pada 23 Disember 2024.

Kien Yoong miliki 211 gambar lucah kanak-kanak

Sementara itu, Kien Yoong di mahkamah sama pula berdepan satu pertuduhan iaitu memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak sebanyak 211 keping gambar dalam komputer ribanya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 9 malam di Jalan Indah 26/7, Taman Bukit Indah 2, Iskandar Puteri pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan RM10,000 jaminan bagi setiap pertuduhan beserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada Mahkamah.

Mahkamah Majistret

Xin Yi berdepan 1 pertuduhan simpan gambar dan video lucah

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, Xin Yi berdepan satu pertuduhan iaitu menyimpan gambar dan video lucah di lokasi, masa dan tarikh yang sama dan mengaku bersalah.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 929 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan mahkamah kemudiannya menetapkan Xin Yi didenda RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayarnya.

Kien Yoong berdepan 1 pertuduhan simpan gambar dan video lucah dalam telefon

Manakala Kien Yoong pula di Mahkamah Sesyen berdepan satu pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah dalam telefon bimbit yang dilakukan di lokasi, masa serta tarikh yang sama dan turut mengaku bersalah.

Perbuatan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 929 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R.Nevina dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Heng Wang Qianwei.

Mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal bayar denda tersebut.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.