fbpx
Now Reading
Perbuatan Mereka Sangat Melampau & Tidak Berperikemanusiaan – Isteri Lelaki OKU Dipukul

Perbuatan Mereka Sangat Melampau & Tidak Berperikemanusiaan – Isteri Lelaki OKU Dipukul

Isteri lelaki OKU itu turut berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi membantu menawarkan khidmat guaman secara probono demi menegakkan keadilan buat suaminya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Kemarahan rakyat Malaysia masih lagi membuak-buak mengenai kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dipukul dan diperlakukan dengan kejam oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu sejak hujung minggu lalu.

Mana tidaknya, luluh hati orang ramai melihat beberapa rakaman semasa kejadian yang tular di media sosial menunjukkan lelaki OKU tersebut diheret, disepak, dipukul, dan dicurahkan mi goreng di atas kepalanya.

Difahamkan, setakat ini pihak polis sudah menahan empat lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Isteri sangat sedih lihat rakaman suami diperlakukan dengan kejam

Namun apa yang dirasakan kita tidaklah sehebat beban yang ditanggung isteri lelaki OKU terbabit. Menurut Faridah Abdul Karim, 44, hatinya hancur dan sangat sedih ketika melihat rakaman video kejadian yang berlaku pada pagi Jumaat lalu (17 Januari) itu.

Katanya, perbuatan individu berkenaan terhadap suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, sangat melampau dan tidak berperikemanusiaan.

“Mereka tidak berhati perut, bayangkan suami sudah beberapa kali memohon maaf, mereka tetap memukul suami saya.

“Bila suami minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, individu itu bertindak menyepak kepala suami,” katanya dipetik Harian Metro.

Tergamak pukul dengan begitu teruk

Malah dia juga mempersoalkan tindakan individu itu yang sanggup melakukan perbuatan kejam terbabit dengan memukul suaminya dengan sangat teruk.

“Kalau benar dia bersalah dan sengaja melanggar sebuah gerai makanan di situ, mereka sepatutnya selesaikan dengan secara baik.

“Sepatutnya mereka datang bertemu saya dan berbincang, saya sanggup bayar ganti rugi yang dialami mereka,” kata ibu kepada lima anak itu.

Pergerakan Pemuda UMNO bantu sedia khidmat guaman secara percuma

Faridah turut berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi membantu menawarkan khidmat guaman secara probono demi menegakkan keadilan buat suaminya.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr Mohamad Akhmal Saleh yang memberi kata-kata semangat melalui panggilan video.

“Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada beberapa individu yang membantu menghalang orang ramai dari terus memukul suami,” katanya.

Ujarnya, sepanjang 25 tahun hidup bersama, suaminya itu tidak lupa solat dan sering ke masjid untuk solat berjemaah.

“Walaupun sakit dia tidak tinggal solat. Suami tak pernah pukul orang, hanya mulut dia sedikit lantang. Kalau pada hari kejadian mereka cakap nak panggil polis suami pasti takut,” katanya lagi.

Polis minta orang ramai henti sebar video-video kejadian

Sementara itu, pihak polis juga meminta orang ramai supaya berhenti menularkan video-video semasa kejadian berlaku di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, penularan video berkenaan telah menimbulkan pertikaian dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Jelas Wan Muhamad, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menularkan video serta memberi komen negatif yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” ujarnya dipetik Awani.

Anak lelaki OKU dedah motosikal bapa ditendang

Dalam pada itu, anak kepada lelaki OKU berkenaan, Nurul Farhanan Ahmad Al Faizan, 21, mendakwa motosikal bapanya ditendang sehingga terlanggar gerai makanan di sana.

Apa yang berlaku menyebabkan bapanya bangun untuk mencari individu terbabit namun dia akhirnya disepak dan dipukul beramai-ramai.

“Abah cuma hendak cari siapa sepak (hingga menyebabkan pelanggaran), tapi dipukul orang ramai,” katanya dipetik Kosmo.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.