
Pembantu Kedai Makan Jadi ‘Admin Group’ Lucah Kanak-kanak Di FB Didenda RM5,000
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengakses pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak pada jam 9 malam, 23 Disember 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang lelaki yang juga pembantu sebuah kedai makan di Johor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar semalam (21 Januari) atas pertuduhan mengakses pornografi kanak-kanak di media sosial pada bulan Disember tahun lalu.
Mohamad Reizal Dagang, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman denda RM5,000.
Mahkamah juga memerintahkan Mohamad Reizal dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Akses pornografi kanak-kanak di rumah pada 23 Disember lalu
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengakses pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak pada jam 9 malam, 23 Disember 2024.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mengesan pentadbir (admin) bagi sebuah kumpulan Facebook.
SKMM kesan admin group lucah kanak-kanak di FB
Dalam kumpulan Facebook terbabit, ia memuat naik gambar dan video lucah kanak-kanak termasuk mereka sedang memakai pakaian seragam sekolah.
Tertuduh yang bertindak sebagai admin group tersebut akan memberi kebenaran kepada mereka yang ingin menyertainya.
Selepas menjadi ahli, mereka boleh memuatnaik pelbagai video dan gambar lucah kanak-kanak di mana hanya boleh diakses kepada mereka terpilih sahaja.
Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan SKMM menerusi Ops Pedo pada 24 Disember 2024 telah menyerbu rumah didiami tertuduh.
Pernah diberi amaran dan digantung Facebook selama 3 bulan
Pemeriksaan mendapati tertuduh mengakses bahan lucah dan video kanak-kanak selain pernah diberi amaran oleh pihak Facebook hingga digantung tiga bulan.
Dalam serbuan itu, tertuduh mengaku bertindak sebagai admin Facebook terbabit selain menemui beberapa pencarian yang pernah dilakukan tertuduh sebelum ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.