
Jika Konsisten, Gaji Permulaan RM1,700 Boleh Ada Simpanan RM1 Juta Semasa Bersara – KWSP
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membahagikan simpanan kepada tiga tahap iaitu Simpanan Mencukupi (RM650,000), Simpanan Asas (RM390,000) dan Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Wang simpanan selepas bersara merupakan salah satu isu yang membelenggu rata-rata rakyat Malaysia.
Bagi mereka yang bekerja, caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah diwajibkan dan wang simpanan yang terkumpul secara umumnya hanya boleh dikeluarkan ketika mencapai umur persaraan.
Sebelum ini, KWSP melaporkan bahawa orang ramai perlu memiliki simpanan antara RM900,000 dan RM1 juta untuk menjalani kehidupan selepas bersara yang selesa.
Perkara ini sekaligus menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat sekiranya wang yang terkumpul tidak mencukupi bagi menanggung kehidupan mereka selepas bersara kelak.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Terkedu Lihat Akaun KWSP Anak Muda Cecah Ratusan Ribu Ringgit
Simpanan RM1 Juta KWSP Boleh Dicapai Dengan Caruman Konsisten
Menerusi program Agenda Awani pada Selasa (21 Januari), Ketua Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff berkata simulasi menunjukkan bahawa mereka yang menerima gaji minimum RM1,700 juga boleh mencapai simpanan RM1 juta menjelang usia persaraan.
Tambahnya lagi, simulasi ini dijalankan bagi caruman bulanan yang dilakukan secara konsisten dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak 3%.
“Persaraan tidak menakutkan jika kita rancang lebih awal. Kami telah bangunkan simulasi berdasarkan angka. Contohnya, jika seorang pembantu pemasaran yang mula bekerja dengan gaji RM1,700.
“Sekiranya, dia mencarum secara konsisten setiap bulan dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak 3%, dia akan boleh mengumpul RM1 juta (simpanan KWSP),” terangnya.
Menurut Balqais, jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding Simpanan Asas (RM390,000) dan Simpanan Mencukupi (RM650,000) yang disyorkan oleh KWSP.
Belanjawanku & Rangka Kerja RIA Bantu Pencarum Capai Sasaran Simpanan Mencukupi
Di samping itu, KWSP juga telah menerbitkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) sebagai panduan komprehensif bagi perbelanjaan bulanan.
Menurut Balqais, kedua-duanya diterbitkan dengan harapan agar pencarum dapat mencapai sasaran simpanan dana yang mencukupi.
Panduan Belanjawanku 2024/2025 berdasarkan tinjauan oleh Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya itu mempunyai pelbagai kategori isi rumah termasuk bujang dengan dan tanpa kereta, pasangan berkahwin dengan dan tanpa anak serta warga emas bujang.
KWSP Hasilkan Kerangka Simpanan 3 Tahap Bagi Rujukan Pencarum
Rangka Kerja RIA pula merangkumi kemas kini tahap simpanan yang disyorkan, iaitu kerangka simpanan tiga tahap berbanding penanda aras simpanan satu tahap sebelum ini.
Berikut merupakan tiga tahap berkenaan:
- Simpanan Mencukupi: Ditetapkan berdasarkan amaun Belanjawanku bagi Individu Warga Emas iaitu sebanyak RM2,690 untuk 240 bulan, dibundarkan ke atas kepada RM10,000 terdekat (RM650,000).
- Simpanan Asas: 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000).
- Simpanan Dipertingkat: 2 kali ganda jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta).
Balqais memaklumkan bahawa Rangka Kerja RIA tersebut akan dilancarkan pada Januari 2026.
Ia akan digunakan bagi membantu pencarum mencapai tahap simpanan yang disyorkan dengan menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan masing-masing.
Pastikan Simpanan KWSP Mencukupi Sebelum Lakukan Sebarang Pengeluaran
KWSP sebelum ini telah memperkenalkan Akaun 3 (Akaun Fleksibel) yang membolehkan pencarum melakukan pengeluaran simpanan pada bila-bila masa tanpa menunggu persaraan.
Namun sudah tentu pengeluaran yang dilakukan akan memberi impak negatif terhadap perolehan dividen yang diterima saban tahun.
Menurut laporan KWSP pada 2023, berikut merupakan purata simpanan menurut kumpulan umur yang wajar dimiliki oleh pencarum:
- 25 hingga 29: RM16,000
- 30 hingga 34: RM35,000
- 35 hingga 39: RM61,000
- 40 hingga 44: RM89,000
Oleh itu, jika anda mempunyai simpanan kurang daripada purata di atas, anda dinasihati agar tidak mengeluarkan wang daripada Akaun 2 dan Akaun 3 KWSP.
Baca Artikel Berkaitan: Pertimbangkan Perkara Ini Sebelum Lakukan Pengeluaran Dari Akaun 3 KWSP
Baca Artikel Berkaitan: Mahu Miliki RM1 Juta Dalam Akaun KWSP? Ini 5 Tips Berguna Untuk Ahli Mulai Praktik
Baca Artikel Berkaitan: Ahli KWSP Boleh Guna Akaun 2 Untuk Beli Insurans & Produk Takaful Untuk Ahli Keluarga