
Kerajaan Tegaskan Dataran Merdeka Milik DBKL, Ini Respon Peguam
Seorang peguam yang dikenali sebagai New Sin Yew menjelaskan Dataran Merdeka bukanlah milik DBKL seperti yang ditegaskan oleh Menteri KDN.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Sabtu (25 Januari) ini, akan berlangsungnya Himpunan Rakyat Benci Rasuah bermula dari Kompleks Beli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman sehinggalah ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pun begitu, sejak awal lagi penganjurannya, ada sahaja isu berbangkit yang membabitkan perhimpunan ini.
Antaranya kenyataan pihak polis yang menyatakan penganjur tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 (Akta 736) dengan menghantar notis pemberitahuan tidak lengkap di mana ia tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
Malah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga turut menegaskan mana-mana kawasan atau ruang awam ada pemiliknya seperti Dataran Merdeka yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dataran Merdeka Adalah Ruang Awam
Namun, seorang peguam yang dikenali sebagai New Sin Yew menjelaskan Dataran Merdeka bukanlah milik DBKL seperti yang ditegaskan oleh kerajaan.
Sebaliknya, ia adalah ruang awam yang hanya diselia oleh DBKL.
Jelas New, persetujuan pemilik atau penghuni tempat perhimpunan yang dinyatakan dalam Seksyen 10 (c) PAA adalah khusus kepada ‘jika berkenaan’.
Bagi konteks Dataran Merdeka, Akta Kerajaan Tempatan (LGA) jelas menunjukkan DBKL bukanlah pemilik dataran tersebut mengikut Seksyen 63.
“Sesebuah pihak berkuasa tempatan hendaklah mempunyai kawalan dan penjagaan am ke atas semua tempat dalam kawasan pihak berkuasa tempatan yang telah atau hendaklah pada bila-bila masa diasingkan dan terletak hak kepada pihak berkuasa tempatan untuk kegunaan orang ramai atau yang mana orang awam hendaklah pada mana-mana masa telah atau telah memperoleh hak bersama,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.
Mana-Mana Tempat Atau Ruang Lapang Boleh Diakses Oleh Orang Ramai
Malah, New turut menjelaskan definisi tempat awam yang sebenar ialah:
- Mana-mana kawasan lapang
- Tempat letak kereta
- Taman
- Padang rekreasi dan hiburan
- Dataran sama ada tertutup atau tidak, diasingkan atau diperuntukkan untuk kegunaan orang ramai atau yang orang ramai akan masa mempunyai akses.
Ini termasuklah Dataran Merdeka yang boleh diakses oleh orang ramai pada bila-bila masa.
“Sebab itu tiada keperluan untuk mendapatkan persetujuan daripada DBKL untuk perhimpunan antirasuah yang akan diadakan di Dataran Merdeka.
“Sebarang penolakan terhadap notis yang diberikan oleh penganjur atas dasar ini adalah salah di sisi undang-undang.
“Saya harap kerajaan akan membetulkan kesilapannya sendiri,” katanya.
PDRM Sepatutnya Memudahkan Perhimpunan Aman
Sebelum ini, seorang peguam Rajesh Nagarajan turut memberi pandangan yang sama bahawa Dataran Merdeka adalah kawasan awam dan tidak dimiliki oleh DBKL.
Dia mendakwa ‘tiada keperluan seseorang mendapatkan kebenaran untuk berkumpul di Dataran Merdeka kerana ia adalah tempat awam milik semua rakyat Malaysia’.
Malah, dia berpendapat pihak polis sepatutnya memudahkan perhimpunan secara aman itu dan bukannya cuba menghalang.
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Lesen & Permit Sah Punca DBKL Arah Kedai Kunafa Viral Di Bukit Bintang Tutup [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Ke Stall Burger IShowSpeed?” – DBKL Sita Gerai-Gerai Di Bangsar Raih Perhatian Ramai