
Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Bukan Islam: JAKIM Jelas Sedang Muktamadkan Garis Panduan
Pada masa yang sama, Menteri Agama menjelaskan penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa jika mahu majlis melibatkan pemimpin atau orang Islam lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
Dek kerana keunikan dan kepelbagaian inilah menyebabkan pelbagai perayaan disambut mengikut agama masing-masing.
Sebagai negara yang berbilang kaum dan harmoni, sudah pastilah setiap individu tanpa mengira agama akan meraikannya antara satu sama lain asalkan tidak melebihi batas dan peraturan yang ditetapkan.
Bagi umat Islam, sudah pastilah ada kaedah dan panduan yang perlu dipatuhi jika perlu terlibat dengan majlis atau perayaan agama lain.
Garis Panduan Penglibatan Muslim Dalam Majlis Agama Lain Sedang Dimuktamadkan
Terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang dalam fasa memuktamadkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan bukan Islam.
Ia termasuklah upacara kematian, kunjungan serta penganjuran majlis di rumah ibadat selain daripada agama Islam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, garis panduan itu akan diperkenalkan agar penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyakat Islam sendiri.
Garis Panduan Bersifat Menyeluruh, Meliputi Perkara Hal Ehwal Islam
Jelas Mohd Na’im, garis panduan itu meliputi perkara seperti berikut:
- Ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda
- Penyebaran risalah dan agama
- Persembahan atau ucapan menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
Malah, garis panduan itu turut merangkumi pelaksanaan majlis ketika tempoh umat Islam mengerjakan ibadah seperti waktu azan, solat Jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
Ia juga meliputi perkara mengenai lokasi majlis yang berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam serta tanah wakaf dan premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol agama bukan Islam.
Penganjur Perlu Dapatkan Kebenaran Pihak Berkuasa
Pada masa yang sama, Mohd Na’im menjelaskan penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa jika mahu majlis melibatkan pemimpin atau orang Islam lain.
“Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman web Parlimen.
Muhammad Fawwaz meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian atau ketetapan kerajaan tentang sambutan perayaan agama lain di premis kerajaan melibatkan orang Islam yang perlu menjaga akidah selain memelihara perpaduan kaum.
Akan Dimuktamadkan Dalam Mesyuarat MKI Kali Ke-126
Jelas Mohd Na’im lagi, garis panduan ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-126 yang dijangka akan berlangsung 25 hingga 27 Februari depan.
“Garis panduan ini juga melengkapi garis panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
“Mana-mana yang dalam garis panduan lama bertentangan dengan yang baru, maka garis panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Mengapa Umat Islam Tak Boleh Menggayakan Kostum Santa Claus
Baca Artikel Berkaitan: “Raikan Orang Mati” – Ustaz Jafri Tegur Individu Ikut Trend Poco Loco, Dedah Berkait Upacara Ritual Mexico [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Tidak Digalakkan Sertai Festival Bon Odori, Kata Menteri Agama