
435 Rakyat Malaysia Dalam Senarai Untuk Dihalau Dari AS
Dasar imigresen lebih ketat itu menyebabkan sejumlah 1.44 juta individu bukan warga negara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Belum sampai sebulan dilantik semula menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald John Trump telah memperkenal pelbagai dasar baharu di bawah kepimpinannya.
Antara dasar yang dilakukan oleh Donald Trump adalah seperti pengisytiharan darurat kebangsaan di sempadan selatan, mengiktiraf hanya dua jantina di negara itu serta memperketatkan lagi penguatkuasaan imigresen.
435 rakyat Malaysia di AS terima arahan akhir pengusiran
Dasar imigresen lebih ketat itu menyebabkan sejumlah 435 rakyat Malaysia disenarai antara 1.44 juta individu bukan warga negara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Menurut Berita Harian yang memetik data Operasi Penguatkuasaan dan Penyingkiran (ERO) ICE yang dikeluarkan November tahun lalu, 435 rakyat Malaysia itu telah menerima arahan penyingkiran muktamad dan kini berada dalam doket bukan tahanan ICE.
Kempen penguatkuasaan imigrasi ini meletakkan Malaysia dalam kategori pertengahan antara negara yang terjejas.
Lebih mengejutkan, rakyat negara sekutu AS juga terlibat seperti Australia (261), United Kingdom (1,157), Israel (1,148) dan Jepun (281).
Boleh dapat perlindungan melalui suaka atau Konvensyen Menentang Penyeksaan
Bagaimanapun, dokumen ICE menjelaskan bahawa mereka yang menerima arahan pengusiran akhir ini boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka atau Konvensyen Menentang Penyeksaan.
Namun, kerajaan AS tetap mengharapkan agar negara asal menerima kepulangan rakyat mereka ini.
“Kekurangan kerjasama daripada kerajaan asing melambatkan dan dalam banyak kes, menghalang proses pengusiran,” menurut kenyataan ICE.
Kerajaan asing digesa sahkan kewarganegaraan rakyat mereka
ICE juga menggesa kerajaan asing untuk mengesahkan kewarganegaraan, mengeluarkan dokumen perjalanan dengan segera dan meminta penghantaran pulang rakyat mereka melalui penerbangan komersial atau sewaan khas.
Kegagalan untuk mematuhi boleh menyebabkan sesebuah negara diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama atau berisiko tidak mematuhi.
Wisma Putra belum terima notifikasi rasmi daripada pihak berkuasa AS
Sementara itu, Wisma Putra hari ini (6 Februari) menyatakan pihaknya belum menerima sebarang notifikasi rasmi daripada pihak berkuasa AS berhubung dakwaan rakyat Malaysia yang bakal diusir susulan dasar imigresen lebih ketat itu.
Memetik Harian Metro, Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi untuk bantuan konsular daripada mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas.
“Kedutaan dan konsulat kami di AS sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di sana dan terus berinteraksi dengan komuniti Malaysia untuk memastikan kesejahteraan mereka serta pematuhan terhadap peraturan imigresen,” kata kenyataan itu.
Wisma Putra beri jaminan akan pantau situasi berkenaan
Wisma Putra turut memberi jaminan pihaknya akan memantau situasi berkenaan dengan rapi dan mengeluarkan sebarang perkembangan terkini jika perlu.
Bagaimanapun, Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara tuan rumah untuk mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
Ketika ini, 15 negara termasuk China, India dan Pakistan disenaraikan sebagai tidak bekerjasama, manakala 11 negara lain seperti Vietnam dan Iraq dianggap berisiko.