fbpx
Now Reading
Cadangan Trump Pindahkan Penduduk Gaza Adalah Satu Bentuk ‘Pembersihan Etnik’ – PBB

Cadangan Trump Pindahkan Penduduk Gaza Adalah Satu Bentuk ‘Pembersihan Etnik’ – PBB

Setiausaha Agung PBB, Antonia Guterres berkata, pelaksanaan hak asasi rakyat Palestin pada dasarnya adalah mengenai hak mereka untuk hidup sebagai manusia di tanah air sendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald John Trump mencuri perhatian dunia apabila mengumumkan satu cadangan yang disifatkan tidak masuk akal iaitu ingin mengambil alih Semenanjung Gaza.

Selain mengambil alih, Trump turut menggesa rakyat Palestin untuk berpindah ke negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan dengan alasan kononnya ingin membangunkan semula wilayah berkenaan.

Cadangan mengarut itu pernah disuarakannya sebelum ini walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara jirannya itu menolaknya.

Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Akan Ambil Alih Gaza, Kata Donald Trump

Cadangan AS pindahkan penduduk Gaza jadi permulaan ‘pembersihan etnik’

Terbaharu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa cadangan AS bagi memindahkan penduduk Gaza mungkin jadi permulaan kepada ‘pembersihan etnik’ (ethnic cleansing) di wilayah itu jika ia berlaku.

Setiausaha Agung PBB, Antonia Guterres berkata, pelaksanaan hak asasi rakyat Palestin pada dasarnya adalah mengenai hak mereka untuk hidup sebagai manusia di tanah air sendiri.

Tegasnya, kemusnahan berskala besar lagi mengerikan susulan serangan balas rejim Zionis ke atas Gaza juga tidak boleh diterima, selain tiada alasan munasabah bagi membenarkan Hamas menyerang Israel pada Oktober 2023 lalu.

Idea penyelesaian dua negara adalah yang paling terbaik

Ujarnya lagi, idea penyelesaian dua negara sebagai rumusan terbaik bagi membolehkan Israel dan Palestin hidup dalam keadaan aman.

“Hak ini (untuk mendiami tanah air sendiri) dilihat semakin jauh untuk dicapai rakyat Palestin, selain ia menyaksikan proses nyahkemanusiaan yang mengancam keseluruhan penduduk Palestin secara sistematik ke atas semua rakyat Palestin.

“Keamanan kekal memerlukan kemajuan nyata, tidak boleh diputarbelitkan dan tetap ke arah penyelesaian dua negara, menamatkan pendudukan haram serta menubuhkan negara Palestin merdeka, dengan Gaza sebagai bahagian yang tidak dipisahkan,” katanya.

Pemindahan secara paksa adalah sama seperti ‘pembersihan etnik’

Sementara itu, jurucakap PBB, Stephane Dujarric yang mengulas cadangan Trump berkata, sebarang pemindahan paksa adalah sama sahaja seperti ‘pembersihan etnik’.

“Penting untuk kita kekal setia kepada asas undang-undang antarabangsa. Ia amat perlu untuk mengelakkan sebarang bentuk pembersihan etnik,” kata Dujarric.

Duta Palestin gesa isu berkaitan cadangan Trump dibincangkan pada Jun ini

Dalam pada itu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour menggesa persidangan bagi membincangkan isu terbabit diadakan di PBB pada bulan Jun 2026 dengan dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi serta Perancis.

Beliau juga mengulangi penegasan mengenai penolakan rakyat Palestin terhadap rancangan Trump untuk mengambil alih Gaza, selain berkata warga negara itu ‘gembira’ untuk kembali ke rumah mereka.

“Kami tidak akan tinggalkan Gaza. Ia sebahagian daripada tanah air kami dan kita tidak memiliki tanah air selain dari Palestin,” ujar Riyad.

Sekadar info, ketika ini ratusan ribu rakyat Palestin sudah kembali ke uatara Gaza selepas Israel dan pejuang Hamas mencapai persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Meskipun sebahagian besar wilayah itu telah musnah dan penduduk di sana kehilangan tempat tinggal, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mempertahankan tanah air daripada pendatang haram Israel.

Baca Artikel Berkaitan: Israel & Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Fasa Pertama Bermula Ahad Ini

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.