
Tindakan Polis Tahan 8 Mahasiswa Tanpa Sebab Adalah Mengarut – Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis
Ketua Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis mendakwa lapan individu terbabit turut dipaksa memberi keterangan tanpa sebarang notis oleh pegawai polis dari IPD Wangsa Maju.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) mengecam tindakan polis yang didakwa menahan lapan aktivis.
Difahamkan, kelapan-lapan aktivis itu ditahan semasa datang untuk memberi sokongan kepada seorang rakan mereka yang dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju semalam (6 Februari).
Ketua Aksi, Danny Villenguez Mohd Amani menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan penyalahgunaan kuasa dan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ini.
Dakwa 8 individu dipaksa beri keterangan tanpa sebarang notis
Dakwa Danny, lapan individu terbabit turut dipaksa memberi keterangan tanpa sebarang notis oleh pegawai polis dari IPD Wangsa Maju ketika sedang berkumpul di pekarangan balai polis terbabit.
“Mereka ditahan kerana berkumpul dan mengiringi saudari Hani (seorang aktivis mahasiswa) yang dipanggil memberi keterangan kepada polis di IPD Wangsa Maju kali kedua selepas terbabit dengan perhimpunan aman membela nasib Palestin baru-baru ini.
“Bagi saya tindakan polis memanggil saudari Hani sekali lagi untuk memberi keterangan atas tindakan kami berhimpun untuk menyatakan sokongan kepadanya di IPD Wangsa Maju pada Disember lalu, memang mengarut dan tidak masuk akal,” katanya dipetik Sinar Harian.
Dakwa polis arah 8 mahasiswa serahkan kad pengenalan
Dakwanya lagi polis juga telah mengarahkan semua individu itu menyerahkan kad pengenalan masing-masing sebelum dipanggil memberi keterangan dalam bilik soal siasat.
“Saya dan tiga lagi individu tidak dipaksa memberi keterangan kerana berada di luar IPD Wangsa Maju ketika kejadian.
“Kamu kena tengok (rakaman video) mereka kena panggil memberi keterangan tanpa notis atau waran. Polis tidak menyatakan sebab mereka ditahan tetapi mereka kena paksa masuk (ke balai polis).
“Seorang pegawai polis berpangkat Asistan Superintenden (ASP) juga mengugut sekiranya kami tidak menyerahkan kad pengenalan maka kami akan ditahan,” dakwanya.
Dakwa kesemua individu yang serah MyKad dipaksa masuk ke balai polis
Dia juga mendakwa kesemua lapan individu yang menyerahkan kad pengenalan masing-masing kemudian dipaksa masuk ke balai polis untuk memberikan keterangan selama lebih dua jam.
“Polis juga enggan memberikan kerjasama apabila ditanya siapa yang memberi arahan kepada mereka untuk berbuat demikian atau pegawai penyiasat kes terbabit.
“Susulan itu, kami terpaksa memanggil beberapa aktivis lain termasuk dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk membantu membebaskan lapan individu berkenaan,” katanya lagi.
Haram kecam polis
MalaysiaKini sebelum ini melaporkan Kumpulan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mengkritik polis kerana menahan dan mengambil keterangan lapan individu, termasuk lima mahasiswa, yang berkumpul di luar IPD Dang Wangi bagi menyatakan solidariti terhadap seorang siswi, Alyaah Hani Anuar yang sedang disiasat.
Dihfamakan dia dipanggil untuk disoal siasat berhubung perhimpunan solidariti Palestin yang berlangsung pada dua bulan lalu. Dakwa Haram, ini merupakan kali ketiga dia dipanggil untuk siasatan.