
Berang Diminta Alihkan Barang Punca Suspek Lepaskan Tembakan Dalam Mall Di Setia Alam
Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah semasa insiden berlaku.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sabtu lalu (8 Februari), negara digemparkan dengan satu insiden tembakan yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, Selangor.
Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam ketika orang ramai sedang berjalan-jalan dan membeli-belah di dalam mall terbabit.
Di media sosial pula, tular beberapa rakaman semasa kejadian berlaku yang memperdengarkan beberapa bunyi das tembakan selain para pengunjung dilihat bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Pihak polis dalam satu kenyataan semalam (9 Februari) mengesahkan seorang pekerja tukang cuci mengalami kecederaan selepas terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung.
Suspek lepaskan tembakan kerana berang diminta alihkan barang
Terbaharu, siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai melepaskan tembakan akibat berang ditegur tukang cuci agar mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah semasa insiden berlaku.
“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya dipetik Sinar Harian.
Menurutnya, siasatan lanjut dan usahawa mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Suspek tembak di pusat membeli-belah sudah dikenal pasti
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan juga mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti suspek berkenaan.
Memetik Awani, Hussein berkata suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan, berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
SUASANA di sebuah pusat beli-belah terkenal, Setia Alam City Mall di Setia Alam, Shah Alam, Selangor bertukar kecoh apabila insiden tembakan berlaku di dalam bangunan tersebut sekitar jam 10 malam tadi.
— MYNEWSHUB (@mynewshub) February 8, 2025
Kejadian yang mencetuskan panik itu menyebabkan para pengunjung dan peniaga… pic.twitter.com/qTZIe7t3y0