
JPJ Bimbang Trend Pemandu Guna ‘Dummy Buckle’ Makin Menjadi-jadi
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, lebih 30% daripada 195 kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar didapati menggunakan ‘dummy buckle’.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan, kebanyakan orang yang memiliki kereta gemar menghiasi kenderaan mereka dengan pelbagai aksesori.
Aksesori yang dipasang kebiasaannya untuk menampakkan kabin di dalam kenderaan lebih cantik dan berguna buat pemandu seperti pemegang telefon, ‘armrest’, android player, pod pengecasan kereta dan pelbagai lagi.
Pun begitu, sebahagian aksesori juga boleh membahayakan pemandu sekiranya berlaku sebarang kemalangan yang tak diingini seperti ‘dummy buckle’.
Trend guna ‘dummy buckle’ semakin membimbangkan
‘Dummy buckle’ atau alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar ini dapat membantu pemandu yang tidak gemar memakai tali pinggang keledar dan ia kini menjadi satu trend yang amat membimbangkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, notis bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar pada Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) merekodkan jumlah tertinggi iaitu 195 kesalahan.
Lebih 30% pemandu tak pakai tali pinggang keledar didapati guna ‘dummy buckle’
Apa yang mengejutkan, Hanif berkata lebih 30% daripada 195 itu didapati menggunakan aksesori berkenaan.
“Kita dapati pemandu suka memakai ‘dummy buckle’ bagi menghentikan penggera (jika tidak memakai tali pinggang keledar) dengan alasan tidak selesa dan terlupa, namun itu adalah kesalahan besar kerana boleh mengundang bahaya jika berlaku kemalangan.
“Penggunaan aksesori itu dilihat semakin meluas dan menjadi trend. Itu petanda kurang baik yang perlu diberi perhatian segera,” katanya dipetik Awani.
Guna ‘dummy buckle’ sebab rimas dengan bunyi penggera
Sebagai info, kebanyakan kenderaan pada masa kini telah dilengkapi dengan ciri-ciri amaran bunyi sekiranya pemandu tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu.
Pemandu yang tidak gemar memakai tali pinggang keledar pasti akan rasa ‘annoying’ dengan bunyi amaran tersebut.
Susulan itu, ada individu yang sanggup membeli ‘dummy buckle’ agar dia dapat memandu tanpa memakai tali pinggang keledar dan bunyi amaran terbabit.
Bukan itu sahaja, memetik akaun PPIM, sekiranya kenderaan anda kemalangan dan pihak insuran menemukan ‘dummy buckle’ ia akan menyukarkan proses menuntut insuran.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Kongsi 4 Aksesori Yang Bahaya Digunakan Dalam Kereta [Video]