
KKM Ambil Tindakan Selepas Tular Iklan Produk Kosmetik Dakwa Boleh Dimakan
Jenama berkenaan turut melakukan amalan yang boleh mendatangkan kerisauan ramai apabila pengacara yang mempromosikan produk terbabit memakai kot berwarna putih seolah-olah seperti seorang doktor sekaligus melanggar Garis Panduan Iklan Kosmetik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada masa kini, tidak kira lelaki atau wanita, masing-masing dilihat menjaga dan mementingkan penampilan diri.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah pelbagai jenama produk muncul di pasaran bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Masing-masing dilihat berlumba mempromosikan produk jenama mereka dengan gaya tersendiri bagi memperoleh keyakinan pelanggan.
Namun, ada segelintir produk kecantikan dilihat bertindak di luar batas menerusi cara pengiklanannya seolah-olah mengeliru dan membahayakan pengguna.
KKM Mula Proses Keluarkan Produk Dari Pasaran
Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan terhadap sebuah jenama produk kosmetik popular yang berasal dari China kerana disyaki melanggar undang-undang dalam kempen pemasarannya.
Langkah tersebut diambil selepas syarikat berkenaan mendakwa produk mereka boleh dimakan menerusi beberapa siri pengiklanan di media sosial.
Malah, KKM telah memulakan proses untuk mengeluarkan produk syarikat terbabit dari pasaran.
KKM Minta Syarikat Beri Penjelasan
Merujuk Berita Harian yang memetik New Straits Times (NST), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan pihaknya melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan notis kepada syarikat terbabit untuk memberi penjelasan.
Malah, lesen penjualan syarikat berkenaan mungkin akan dibatal kerana menyiarkan iklan bahawa cecair berwarna merah seperti darah yang penuh dengan asid dan sepatutnya digunakan untuk muka boleh dimakan.
Difahamkan, notis terhadap syarikat berkenaan telah dikeluarkan pada 31 Januari lalu.
“NPRA akan membatalkan notifikasi produk terbabit jika tiada maklum balas diterima daripada syarikat itu dalam tempoh 14 hari,” jelasnya.
Iklan Bukan Sahaja Boleh Mengelirukan Tetapi Bahayakan Pengguna
Jelas Dr Dzulkefly lagi, iklan tersebut bukan sahaja boleh mengelirukan pengguna tetapi menyebabkan risiko kesihatan kepada si pemakai.
Hasil semakan lanjut oleh NRPA mendapati produk kosmetik tersebut diiklankan di Facebook dan mengandungi dakwaan yang melampaui maksud kosmetik iaitu untuk dimakan atau menggunakan mulut.
“Tindakan ini bertentangan dengan syarat-syarat dalam garis panduan tuntutan dan pengiklanan kosmetik,” katannya.
Produk Ada Dua Nombor Notifikasi Berbeza
Malah, semakan di laman web NRPA juga menunjukkan produk kecantikan berkenaan mempunyai dua nombor notifikasi yang dimiliki oleh dua pemegang syarikat yang berbeza.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada akaun Facebook yang memaparkan syarikat tersebut dimiliki oleh cawangan jenama berkenaan di Malaysia.
Terdahulu, tular video sebuah iklan yang berdurasi 26 saat menunjukkan seorang wanita memasukkan produk tersebut dalam mulutnya.
Semakan NST turut mendapati terdapat beberapa akaun Facebook mempunyai nama yang sama namun akaun yang memuat naik iklan tersebut dilihat lebih aktif dan mempunyai 33,000 pengikut.
Malah, iklan serupa juga turut dimuat naik pada 27 Januari lalu di platform TikTok.
Ada Iklan Lelaki Makan Pelindung Matahari Dari Jenama Sama
Bukan itu sahaja, ada juga iklan yang memaparkan seorang lelaki makan sesudu pelindung cahaya matahari dari jenama yang sama.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada akaun yang memaparkan kedua-dua iklan tersebut adalah akaun rasmi dari jenama berkenaan.
Pun begitu, semakan sama terhadap akaun TikTok yang disahkan milik jenama tersebut (tanda biru) mengesahkan kedua-dua pengacara yang mempromosikan penyelesaian pengelupasan mempunyai kaitan dengan jenama berkenaan.
Surat Penarikan Produk Pelindung Matahari Juga Akan Dihantar
Tambah Dr Dzulkefly lagi, iklan tersebut juga didapati melanggar undang-undang.
Malah, surat cadangan penarikan produk pelindung matahari juga akan dihantar kepada pemegang notidikasi.
Tegas Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, mana-mana produk kosmetik yang dikawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta syarikat yang mahu memasarkan produk perlulah mematuhi Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik.
Ada Iklan Yang Turut Paparkan Pengacara Berpakaian Seperti Doktor
Tidak hanya itu, jenama berkenaan turut melakukan amalan yang boleh mendatangkan kerisauan ramai apabila pengacara yang mempromosikan produk terbabit memakai kot berwarna putih seolah-olah seperti seorang doktor.
Jelas pihak berkuasa, amalan sebegitu sememangnya melanggar Garis Panduan Iklan Kosmetik yang melarang wujudnya sokongan profesional seperti doktor, doktor gigi dan ahli farmasi.
“Surat amaran akan dikeluarkan kepada pemegang notifikasi kosmetik itu dengan segera, mengarahkan mereka untuk menghentikan iklan berkenaan secepat mungkin.
“Sekiranya tiada respons diterima daripada pemegang notifikasi dalam tempoh masa yang ditetapkan, NPRA akan meneruskan proses pembatalan,” jelasnya lagi.
NRPA Aktif Saring Iklan Kosmetik
Dalam pada itu, Dr Dzukefly mendedahkan pihaknya sedang aktif membuat saringan iklan kosmetik di semua platform dan tindakan akan diambil bagi mereka yang gagal mematuhi peraturan.
Malah, sejak tahun lalu, NPRA telah berjaya menyaring sebanyak 1,200 iklan manakala Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) memeriksa 1,952 iklan.
“Penyaringan dilakukan di semua media cetak, elektronik dan dalam talian.
“Sekiranya BPF mengesyaki iklan kosmetik melanggar peraturan, ia akan dirujuk kepada NPRA untuk tindakan selanjutnya.
“Begitu juga, jika produk makanan terbabit, ia akan dirujuk kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM),” jelasnya lagi.
@bharianmy Iklan produk kosmetik melampau sampai dakwa boleh dimakan beritaditiktok
♬ original sound – Berita Harian – Berita Harian
Baca Artikel Berkaitan: 531 Produk Kesihatan Dan Kosmetik Tidak Berdaftar Dirampas KKM
Baca Artikel Berkaitan: KKM Kesan Dua Produk Kosmetik Mengandungi Merkuri