
PayNet & FAMA Lancar ‘Vending Machine’ Barangan Runcit Pertama di Malaysia
Mesin layan diri Agrobazaar Mobile ini beroperasi sepenuhnya tanpa tunai, menerima pembayaran melalui DuitNow QR dan kaedah pembayaran digital lain, memastikan proses transaksi yang lancar dan selamat untuk pengguna.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), telah melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, menandakan titik penting dalam perkembangan peruncitan automatik.
Mesin layan diri ni menyediakan buah-buahan segar serta barangan keperluan harian — termasuk kicap, bawang putih, makanan dalam tin, dan banyak lagi — secara terus kepada pengguna dengan kemudahan membeli tanpa tunai, tanpa sentuh, dan pada bila-bila masa.

Mesin layan diri kini semakin popular di Malaysia ekoran peningkatan pembayaran tanpa tunai serta permintaan terhadap akses kepada kedai runcit pada bila-bila masa.
Menurut laporan industri, permintaan kepada mesin layan diri kini tidak lagi terhad pada makanan ringan dan minuman, sebaliknya sekarang meliputi suplemen kesihatan, produk penjagaan kulit, dan hasil segar. Ini mencerminkan peningkatan kecenderungan pengguna yang mengutamakan pengalaman pembelian yang mudah, automatik, dan bebas sentuhan, terutamanya di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang, dan hospital.
“Pengguna hari ini mengutamakan kemudahan, dan mesin layan diri mengubah cara kita mendapatkan makanan dan barangan runcit. Dengan melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, kami manyambut baik trend global ini dan pada masa sama, mengintegrasikan pembayaran digital dan automatik untuk mengubah cara jualan runcit bagi barangan segar,” kata Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani.
Inovasi dalam Peruncitan Digital dengan DuitNow QR
Bukti konsep (PoC) ini membolehkan FAMA mengkaji tabiat pengguna, menilai kecekapan operasi teknologi layan diri bagi barang runcit segar, serta meneroka potensinya untuk masa akan datang.
Mesin layan diri ini beroperasi sepenuhnya tanpa tunai, menerima pembayaran melalui DuitNow QR dan kaedah pembayaran digital lain, memastikan proses transaksi yang lancar dan selamat untuk pengguna.

Inisiatif ini selari dengan komitmen PayNet dan FAMA dalam mendigitasikan sektor pertanian dan peruncitan.
Ia juga membuktikan bagaimana mesin layan diri runcit akan lebih memudahkan pengguna memperolehi keperluan mereka, mengurangkan kos operasi, dan memodenkan cara pengguna membeli hasil segar.
Perancangan Masa Depan & Pelaksanaan Seluruh Negara
Sekiranya inisiatif ini berjaya, FAMA merancang untuk meluaskannya dengan menambah mesin layan diri di lokasi-lokasi strategik khususnya di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada hasil segar.
Demi memastikan kecekapan dan kemampanannya, Agrobazar yang telah dikenalpasti akan menguruskan penambahan bekalan dan memantau mesin untuk memastikan hasil segar dan barangan runcit asas sentiasa tersedia.
“Mesin layan diri memainkan peranan penting untuk meluaskan akses pasaran dan memodenkan perniagaan barangan runcit. Dengan teknologi ini, usahawan tani boleh menjual hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa bergantung pada saluran runcit tradisional. Ini akan meningkatkan kecekapan dan kemampanan dalam ekosistem pemasaran pertanian,” kata Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Keterjaminan Makanan & Operasi), Shahrizan Bin Sudiman.
Dengan meningkatkan permintaan pengguna untuk penyelesaian runcit tanpa sentuh 24/7, PayNet dan FAMA meneraju perubahan pengalaman membeli-belah barangan runcit di Malaysia.